KUALA LUMPUR – Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan tiga buah buku baharu sempena Majlis Perasmian Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antabangsa 2022.
Tiga buku tersebut ialah buku Bahasa dan Identiti Kepimpinan Khaled Nordin Dalam Pendidikan Tinggi Negara, Politik, Etnisiti dan Peradaban: Malaysia Pasca 2020 dan Buku Pantun Teka Teki dan Tafsir.
Penulis utama buku Bahasa dan Identiti Kepimpinan Khaled Nordin Dalam Pendidikan Tinggi Negara, pensyarah Fakulti Ekologi dan Manusia, UPM, Prof. Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata buku ini boleh dijadikan sebagai rujukan umum yang akan memanfaatkan terutamanya dalam penulisan teks ucapan rasmi.
”Ucapan seseorang pemimpin itu bukan sahaja perlu didokumentasi tetapi dianalisis kerana kita boleh menilai identiti pemimpin tersebut.
”Buku ini menjelaskan bagaimana bahasa yang digunakan dalam teks ucapan dapat mengungkap identiti seorang pemimpin dan sangat bagus dibaca oleh mereka yang mahu mendalami bidang bahasa, politik dan kepimpinan dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau yang juga penulis utama buku Politik, Etnisiti dan Peradaban: Malaysia Pasca 2020 berkata buku ini menganalisis secara akademik dan kritikal mengenai politik, etnisiti dan peradaban di Malaysia pasca 2020.
”Buku ini mempunyai artikel-artikel yang mengungkap polemik politik, etnisiti dan peradaban khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.
Beliau berharap agar pelancaran buku-buku ilmiah terbitan UPM ini akan terus dipromosikan dan menemui pembaca selain dapat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Majlis pelancaran tiga buah buku ini disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian yang juga merasmikan Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antabangsa 2022 di Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.
Dalam pada itu, Datuk Dr Megat Sany turut menyampaikan 18 anugerah kepada Pemenang Anugerah Buku Negara 2022. – MalaysiaGazette