Ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Dr. Mahathir.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Kanan DAP, Lim Kit Siang mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah membentangkan laporan 100 hari Majlis Penasihat Kerajaan kepada Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, bekas Perdana Menteri itu telah menerima laporan tersebut daripada majlis yang ditubuhkannya pada 12 Mei 2018 sebaik PH menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Majlis tersebut terdiri daripada lima pakar terkemuka yang bertindak untuk menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan ketika proses peralihan kuasa.

Mereka adalah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Serentak itu, Kit Siang mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri ketika ini untuk menerbitkan laporan-laporan Majlis Penasihat Kerajaan yang diwujudkan ketika pemerintahan PH.

“Beberapa hari yang lepas, saya telah berjumpa dengan Tun Daim Zainuddin, dia menyatakan kekesalannya mengenai Laporan Majlis Penasihat Kerajaan, yang mana dia merupakan Pengerusi, masih belum diterbitkan.

“Daim telah direkodkan sebagai mengatakan yang Dasar Ekonomi Baharu (DEB) perlu berubah menjadi sebuah dasar pembangunan negara yang lebih bertumpu kepada pendekatan berasaskan keperluan dan bukannya lagi mengikut kaum. Dia mengatakan, walaupun DEB ini mempunyai kejayaannya, dasar ini kita penuh dengan kekurangan dan salah guna.

“Saya menyeru kepada Ismail Sabri untuk menerbitkan laporan 100 hari Majlis Penasihat Kerajaan yang dihantar kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang tidak pernah menghantar laporan ini kepada Kabinet,” kata Kit Siang.

Beliau mendedahkan perkara tersebut dalam blog yang disiarkan hari ini.

Majlis Penasihat Kerajaan diketuai oleh Tun Daim Zainuddin yang juga bekas Menteri Kewangan.

Bertindak sebagai sekretariat adalah ahli ekonomi Dr. Muhammad Abdul Khalid, manakala tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi.

Semasa menubuhkan majlis itu, Dr. Mahathir berkata, Majlis berkenaan akan membantu kerajaan membentuk dasar dan program bagi mencapai janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) untuk ditunaikan kepada rakyat.

Tempoh jangka masa kewujudan majlis tersebut adalah selama 100 hari sahaja.

“Panel terbabit akan meneliti dan mengkaji banyak perkara antaranya membabitkan isu atau pelaksanaan yang berlaku sebelum ini bermula 2009 sehingga sekarang.

“Panel yang juga ‘orang lama’ dan mengetahui selok-belok dalam sektor ekonomi serta kewangan sememangnya berpengalaman. Kerajaan boleh guna kepakaran mereka dalam menyelesaikan isu berbangkit.

“Selepas itu, barulah tindakan segera dalaman dilaksanakan seperti siasatan dan sebagainya,” kata Dr. Mahathir ketika itu.-MalaysiaGazette