Bangunan Maybank Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd’s (Maybank) pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 menyusut sedikit kepada RM1.86 bilion daripada RM1.96 bilion pada tahun sebelumnya terutamanya disebabkan caj rosot nilai bersih yang meningkat kepada RM1.16 bilion daripada RM567.2 juta pada tahun lepas.

Bank itu berkata, kos overhed diuruskan secara berhemat, berkembang pada kadar sederhana 4.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y)  disebabkan perbelanjaan kakitangan yang lebih tinggi sebanyak RM67.6 juta, kos penubuhan yang lebih besar sebanyak RM43.1 juta dan perbelanjaan pentadbiran dan am yang lebih tinggi sebanyak RM19.8 juta.

Hasil untuk suku kedua 2022 juga merosot kepada RM11.20 bilion berbanding RM11.34 bilion sebelumnya, kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, kumpulan itu terus mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan pertumbuhan dalam pendapatan setelah momentum ekonomi meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi, walaupun turut terjejas oleh ketidaktentuan pasaran global.

“Memandangkan prospek terkini kekal kabur disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, kami akan memberi tumpuan untuk kekal tangkas bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan yang muncul, di samping mengurus risiko dengan berhati-hati.”

Pendapatan faedah bersih kumpulan dan pendapatan perbankan Islam pada suku kedua 2022 meningkat 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM5.2 bilion, manakala pendapatan daripada operasi lain menurun sebanyak RM783.2 juta kepada RM366.9 juta.

Bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun, 2022, keuntungan bersih pada RM3.90 bilion berbanding RM4.35 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil ialah pada RM23.12 bilion berbanding RM23.55 bilion sebelumnya.

Pertumbuhan pinjaman, deposit dan kualiti aset

Bagi separuh pertama 2022, pinjaman kasar kumpulan berkembang 6.2 peratus tahun ke tahun dengan pertumbuhan stabil direkodkan merentas semua pasaran. Operasi kumpulan di Indonesia menyaksikan pinjaman berkembang 8.2 peratus, Singapura 8.1 peratus dan Malaysia 5.6 peratus, manakala pasaran antarabangsa lain mencatatkan peningkatan 1.4 peratus.

Sementara itu, deposit kasar kumpulan meningkat 5.3 peratus diterajui oleh peningkatan kukuh masing-masing sebanyak 9.3 peratus dan 3.6 peratus di Malaysia dan Indonesia.

Margin faedah bersih bagi enam bulan pertama meningkat 4.0 mata asas (bps) kepada 2.38 peratus dari tahun sebelumnya, terutamanya berikutan hasil yang lebih baik pada kadar faedah yang lebih tinggi dan kos deposit yang lebih rendah.

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan berterusan dalam kualiti aset dengan nisbah Pinjaman Terjejas Kasar (GIL) menurun kepada 1.81 peratus pada Jun 2022 daripada 2.18 peratus pada Jun 2021.

Sementara itu, perlindungan kerugian pinjaman kekal pada paras sihat 122.3 peratus kerana pembentukan pinjaman terjejas baharu kekal rendah.

Namun begitu, memandangkan prospek ekonomi global yang tidak menentu, Maybank terus memantau dengan teliti kualiti kredit pelbagai portfolionya dan melaksanakan peruntukan proaktif di mana-mana ia diperlukan, sambil membantu pelanggan yang terjejas dalam menguruskan obligasi kewangan mereka.

Sehingga 31 Julai 2022, kira-kira 5.7 peratus daripada baki pinjaman tertunggak di Malaysia kekal di bawah program pelepasan, manakala di Singapura dan Indonesia masing-masing berjumlah 3.2 peratus dan 9.5 peratus.

Prospek

Zamzamzairani berkata, Pelan M25 Maybank masih diperhalusi lagi tetapi akan kekal sebagai tonggak utama yang memastikan kumpulan kekal mampan dalam jangka panjang dan menyampaikan hasil yang terbaik untuk manfaat semua pemegang kepentingan.

Tahun lepas, Maybank melancarkan strategi lima tahun seterusnya – dinamakan kod M25 – direka untuk mempercepatkan pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka di rantau ini.

M25 dirangka dengan berlatar belakangkan trend makroekonomi, sosial dan teknologi, menetapkan pelan hala tuju dan strategi kumpulan perbankan itu untuk lima tahun akan datang sehingga 2025.

Sementara itu, dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat, kumpulan itu akan secara selektif mengembangkan pinjamannya merentasi pasaran utama sambil mempertahankan asas deposit kos rendahnya.

“Ia juga akan terus membolehkan kami mencari peluang pendapatan berasaskan yuran dalam segmen pengurusan kekayaan, pasaran global, perbankan pelaburan, pengurusan aset dan insurans.

“Pemuliharaan modal dan kecairan kekal sebagai keutamaan memandangkan masalah luaran dan turun naik pasaran pada masa kini.”

Maybank turut mengumumkan pemberian ganjaran kepada pemegang saham dengan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 28 sen sesaham, yang terdiri daripada bahagian tunai sebanyak 21 sen dan bahagian boleh pilih sebanyak 7 sen sesaham di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen Kumpulan.

Ini bersamaan sejumlah RM3.35 bilion dalam pembayaran kepada pemegang saham, membentuk 85.9 peratus daripada keuntungan bersih bagi setengah tahun pertama 2022. – Bernama