KUALA LUMPUR – Hukuman penjara yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dijadikan alasan untuk menghina dan mempersendakan bekas Perdana Menteri itu, kata Ketua Pemuda UMNO Cheras, Johari Yazid.
Menurutnya, apa yang berlaku seharusnya terhadap Najib dijadikan sebagai iktibar.
“Sebagai seorang manusia, saya percaya kita tidak pernah lari dan terlepas dari membuat kesilapan dan dosa. Namun, kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana aib kita itu masih terlindung lagi dari pandangan manusia di dunia ini.
“Maka sebagai manusia yang tidak terlepas dari khilaf, tidak sewajarnya kita menghina kelemahan dan kesilapan orang lain,” katanya menerusi kenyataan.
Johari kesal terhadap tindakan segelintir pihak termasuk pemimpin parti politik dan warga maya yang dilihat seolah-oleh bergembira atas hukuman yang dikenakan terhadap Najib.
Lebih buruk lagi, katanya, apabila hukuman itu turut dijadikan bahan jenaka dan sindiran secara tidak bertanggungjawab melalui ruangan terbuka seperti medium media sosial.
Pada masa sama, Johari berkata, Najib telah membayar harga perjuangan yang sangat mahal dalam memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali bangkit selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Sebagai pemimpin dan ahli akar umbi BN, kita perlu memastikan segala pengorbanan Datuk Seri Najib Razak ini tidak sia-sia begitu sahaja.
“Kita mesti memastikan Umno-BN kembali mentadbir negara pada PRU nanti agar pendakwaan terpilih dan bersifat politik sebegini tidak lagi akan berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette