BUKIT MERTAJAM – Tiada elemen sindiket dikenal pasti dalam kes culik bayi perempuan berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri Taman Pauh Perai di sini, kelmarin.
Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, berdasarkan pengakuan suspek utama berusia 14 tahun itu, dia suka bayi tersebut kerana comel serta berbadan gempal menjadi punca dia melarikannya.
Jelas beliau, berdasarkan siasatan, tiada sebarang transaksi jual beli bayi dilakukan kesemua suspek.
Namun motif kejadian serta siasatan mengenai dakwaan sindiket penculikan tetap dijalankan oleh pihak polis.
“Kita lakukan siasatan dari semua sudut namun setakat ini apa yang boleh saya tegaskan tidak wujud elemen sindiket dalam kes melarikan bayi ini.
“Berdasarkan siasatan kita, bayi tersebut dibawa lari oleh suspek utama yang juga cucu kepada pengasuh bayi itu sebelum ditempatkan di rumah ibu kepada kekasihnya di Kulim, Kedah.
“Suspek bawah umur itu memberitahu wanita berusia 43 tahun itu bahawa bayi yang dibawa itu adalah miliknya iaitu hasil daripada bekas teman lelaki sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Cheng San berkata, empat individu lain yang ditahan dalam kes ini membabitkan kekasih kepada remaja tersebut serta rakan lelaki yang masing-masing berusia 18 tahun dan tidak memiliki sebarang pekerjaan.
Manakala seorang lagi lelaki berusia 30 tahun yang juga pemandu bas kilang serta wanita itu merupakan ibu serta bapa tiri kepada teman lelaki suspek utama.
“Tiga tangkapan pertama dilakukan di sebuah pondok di Machang Bubok manakala dua lagi tangkapan di rumah mereka di Kulim sebelum kita menyelamatkan bayi tersebut yang berada dalam van kilang berkenaan.
“Semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain ujian air kencing mereka juga negatif dadah.
“Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 27 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik,” kata beliau.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, membenarkan permohonan reman terhadap lima individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur yang terlibat dalam kes culik bayi perempuan berusia sembilan bulan.
Perintah reman selama empat hari terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Majistret Muhamad Firdaus Abdul Wahab bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette