Gambar Noor Raisya Mohamad Rahimi sejurus diselamatkan polis dikongsikan di Facebook Farisha Amirah (Gambar kecil).

SEBERANG PERAI – Ibu kepada bayi perempuan yang dilarikan cucu pengasuh pada Selasa lalu dari sebuah pangsapuri di Taman Pauh Perai di sini, merakamkan penghargaan terima kasih kepada polis Pulau Pinang.

Farisha Amirah Zainal, 24, berkata, kira-kira lima jam iaitu bermula jam 5.30 petang dia  dibelenggu pelbagai situasi susulan tidak tahu status anaknya yang dilarikan remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Bagi saya kejadian pada Selasa itu merupakan pengalaman ngeri dalam hidup yang tak akan dilupakan. Malah lima jam kelmarin amat mendebarkan bagi saya dan suami.

“Apa pun saya nak ucap terima kasih kepada pihak polis Pulau Pinang khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah serta Bahagian Jenayah Berat (D9) yang berjaya menyelamatkan anak saya.

Farisha Amirah merakamkan ucapan terima kasih kepada Polis Pinang yang berjaya selamatkan anak tunggalnya.

“Saya tak dapat bayangkan nasib kami sekeluarga serta anak tunggal saya tanpa bantuan mereka (polis),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Farisha Amirah, kecekapan pihak polis menyelesaikan kes tersebut dengan menyelamatkan anak serta tangkapan suspek yang terlibat menunjukkan pasukan beruniform itu komited dengan setiap aduan yang diterima.

“Kejadian ni bukan perkara kecil kerana jika terlepas bayi itu kepada orang ketiga akibatnya sangat besar.

“Jadi saya dan keluarga amat berterima kasih kepada pihak polis kerana dengan  bantuan mereka hari ini kami dapat melihat senyuman terus terukir di muka anak serta ahli keluarga lain,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Bayi saya dilarikan mungkin mahu dijual kepada sindiket – Farisha

MalaysiaGazette semalam melaporkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, membenarkan permohonan reman terhadap lima individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur yang terlibat dalam kes culik bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Perintah reman selama empat hari terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Majistret Muhamad Firdaus Abdul Wahab bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Lima suspek direman itu berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun dan tiga daripada mereka tidak bekerja manakala dua lagi masing-masing berniaga serta pemandu van kilang. – MalaysiaGazette

Remaja 14 tahun antara lima direman bantu siasatan culik bayi