Dua wanita (gambar atas) serta tiga lelaki yang terlibat dalam kes melarikan seorang bayi perempuan dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini, hari ini membenarkan permohonan reman terhadap lima individu termasuk seorang remaja perempuan bawah umur yang terlibat dalam kes culik bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Perintah reman selama empat hari terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Majistret Muhamad Firdaus Abdul Wahab bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Lima suspek direman itu berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun dan tiga daripada mereka tidak bekerja manakala dua lagi masing-masing berniaga serta pemandu van kilang.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang ibu dikejutkan dengan kehilangan anak perempuannya ketika mahu membawa bayi itu pulang dari rumah pengasuh di Taman Pauh Perai, di sini, selepas pulang dari tempat kerja pada jam 5.30 petang semalam.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek utama yang berusia 14 tahun itu merupakan cucu kepada pengasuh bayi berkenaan.

Mangsa dikatakan dijaga oleh pengasuh wanita itu sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 setiap bulan dan bayi itu dilarikan ketika wanita tersebut sedang solat manakala kakak suspek sedang menjaga tiga kanak-kanak lain di dalam bilik.

Suspek pula dikatakan menetap di tempat lain dan hanya pulang ke rumah tersebut bagi urusan tertentu.

Bagaimanapun, tindakan pantas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah berjaya memberkas suspek sebelum menyelamatkan bayi yang dilarikan.

Difahamkan, tiga suspek iaitu suspek utama dan lelaki berusia 18 tahun diberkas di Jalan Kulim-Machang Bubok manakala dua lagi suspek diberkas di Pondok Labu, Kulim, Kedah selain membawa kepada penemuan bayi berkenaan.

Susulan itu, pihak polis membawa mangsa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan kesihatan dan diserahkan kepada keluarga selepas doktor mengesahkan tiada sebarang kecederaan pada mangsa.

Selain itu, serbuan rumah di Pondok Labu yang didiami lelaki berusia 30 tahun yang juga bapa tiri kepada kekasih suspek membawa kepada penemuan beberapa barang milik mangsa antaranya baju serta botol susu.

Sementara itu, satu sidang media berhubung kes ini akan diadakan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San esok pada jam 9.30 pagi di IPD SPT. – MalaysiaGazette