Anak bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Mohd Najib tiba di mahkamah bagi mengikuti prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Mohd Najib tidak melepaskan peluang untuk bersua muka dengan ayahnya, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini.

Ia merupakan kemunculan pertama bekas Perdana Menteri keenam itu selepas menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak Selasa lalu.

Terdahulu, Nooryana yang mengenakan baju kurung berwarna krim dan menaiki kenderaan BMW berwarna biru gelap kelihatan tiba bersendirian di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9.28 pagi tadi.

Selang 19 minit kemudian, peguam utama Tan Sri Shafee Abdullah pula tiba di mahkamah sama kira-kira jam 9.47 pagi tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu hadir ke Mahkamah Tinggi di sini kira-kira jam 8.27 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, 69 tahun, menghadiri prosiding hari ini di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mahkamah  mengeluarkan perintah kepada pihak penjara.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020. – MalaysiaGazette