Ezad Lazim.

KUALA LUMPUR – Sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-65, AEON Co. (M) Bhd. (AEON) dan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) telah menjalinkan kerjasama bagi menjayakan kempen Kita Merdeka Kami Anak Malaysia.

Kempen yang akan berlangsung di Perkarangan AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan itu diadakan pada 31 Ogos ini dengan menyediakan  pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Antaranya adalah Tukar Minyak Hitam Motorsikal Percuma (Kategori Kapcai), Bike Gathering (Kelab Motorsikal)  dan persembahan artis jemputan iaitu Buskers (Music Box Buskers).

AEON dalam satu kenyataan berkata, kemuncak program yang ditunggu-tunggu apabila menampilkan barisan artis berbilang kaum yang dinamakan Konsert Merdeka.

Bermula pada pukul 8.30 malam, konsert itu akan menampilkan Dr Sam yang popular menerusi lagu patriotik Saya Anak Malaysia, Aris Ariwatan, Ezad Lazim, Eka Hazika, Winnie K dan dihoskan oleh Hairul Nizam (DIVA).

“AEON dan IRAMA berharap agar kempen ini dapat menyuntik semangat patriotik d ikalangan rakyat Malaysia agar terus cintakan negara.

“Sekaligus mereka berbangga bergelar Anak Malaysia untuk terus bersatu dan kekal teguh seperti yang dilalui sewaktu awal kemerdekaan sehingga kini.

“Sebagai pasar raya yang menjadi pilihan utama pengguna, AEON sentiasa ingin menyuntik dan memupuk semangat cintakan negara setiap warganegara tanpa mengira peringkat usia.

“Ini juga merupakan salah satu usaha AEON memberikan pengalaman baharu kepada pengunjungnya dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti sosial yang sihat,” kata AEON dalam kenyataan itu.

Aris Ariwatan.

Sementara itu, selain aktiviti jualan dan pameran motorsikal, dua pentas iaitu di dalam serta di luar perkarangam Aeon Mall Nilai disediakan untuk pelbagai aktiviti serta hiburan pengunjung sepanjang kempen Kita Merdeka Kami Anak Malaysia.

Tidak ketinggalan terdapat juga gerai dari pelbagai agensi kerajaan antaranya Majlis Belia Malaysia (MBM), Agensi Antidadah Negeri Sembilan, Bahagian Keselamatan Jalan Raya dan PDRM (Division Anti Scammer).

Ia bagi memberi manfaat kepada pengunjung untuk mendapatkan pengetahuan, maklumat terkini dan perkongsian dari agensi-agensi terbabit.

Mereka yang gemar menyanyi dan mengasah bakat pula boleh menyertai pertandingan nyanyian Kita Merdeka Kami Anak Malaysia Mencari S7 & IRAMA Idol anjuran AEON, S7 dan IRAMA dengan sokongan Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Ia akan bermula pada pukul 11 pagi di pentas utama dan akan berakhir pada pukul 1 tengahari di mana pertandingan ini dibahagikan kepada tiga saringan iaitu di AEON Mall Nilai pada 31 Ogos ini, AEON Mall Tebrau City (17 September ) dan AEON Mall Bhd Bukit Mertajam  pada 24 September ini.

“Pentas final akan berlangsung di AEON Mall Wangsa Maju pada 1 Oktober depan dengan hadiah yang ditawarkan ialah RM1,000 beserta piala & sijil untuk juara, RM800 beserta piala & sijil untuk tempat kedua dan RM500 beserta piala & sijil untuk tempat ketiga.

Objektif pertandingan ini bertujuan mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam industri seni tanah air. Ia akan disusuli program Dari Yayasan Anti Rasuah pada pukul 1 tengahari hingga 2 petang dan seterusnya pertandingan buskers dari pukul 2 petang hingga 6 petang,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette