Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sedikit masa untuk berjumpa dengan penyokongnya ketika hadir ke mahkamah pada prosiding kes rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Satu lagi coretan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak dimuat naik ke Facebook rasmi beliau malam tadi.

Seolah-olah mengetahui nasibnya telah ditentukan untuk dihantar ke penjara, Najib menulis catatan tersebut pada 22 Ogos iaitu sehari sebelum hukuman dijatuhkan.

“Pada ketika mesej saya ini disiarkan, nasib saya sudah pun ditentukan. Saya mungkin tidak ada peluang lagi meluahkan isi hati kepada semua. Mungkin ini sahaja yang dapat saya tinggalkan.

“Satu perjalanan yang amat sukar buat saya dan keluarga beberapa tahun ini, dan lebih mencabar pada masa akan datang. Saya hanya mohon doakan segala urusan dipermudahkan,” katanya.

Coretan yang dimuat naik dalam tempoh tujuh jam itu telah mendapat hampir 74,000 reaksi, 10,000 komen dan hampir 4,000 perkongsian.

Najib yang memimpin Malaysia selama 10 tahun sebagai perdana menteri dan menyertai politik hampir 46 tahun berkata, beliau tidak pernah sama sekali akan meninggalkan rakyat.

Dasar-dasar yang dilakukan sentiasa menekankan kebaikan dan kelangsungan hidup rakyat.

Ini termasuk memberikan hibah dan dividen tertinggi buat pencarum KWSP, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera secara konsisten sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut membantu anggota perkhidmatan awam dengan kemudahan, kenaikan, pendapatan dan ganjaran setiap tahun.

“Mendahulukan rakyat dengan Klinik 1Malaysia, UTC, perumahan rakyat, kuota Haji, SL1M.

“Dari nelayan ke pekebun kecil, keluarga berpendapatan rendah ke bujang, anak-anak bersekolah, pelajar-pelajar IPT dan TVET, anak muda yang impikan rumah mampu milik, kepada keperluan pengangkutan awam dan pemodenan infrastruktur.

“Sama ada lebuhraya tanpa tol atau perkhidmatan keretapi moden menghubungkan seluruh Lembah Klang, Sabah dan Sarawak. Tidak pernah meninggalkan rakyat. I was only interested in doing my job, giving my best,” katanya.

Beliau turut memperkenalkan Skim Insurans Pekerjaan, dan berjuang mendapatkan pengeluaran KWSP i-sinar, i-Lestari, i-Citra bagi membela kelangsungan hidup rakyat pada masa terdesak dan amat memerlukan.

“Tidak pernah meninggalkan rakyat. Tidak mengapa jika tiada yang menghargai.

It is ok if no one appreciates these. Such is life after all.
Saya ikhlas memimpin Malaysia. I gave my best, I tried my best.

“Tidak mengapa jika tiada yang menghargai. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Hanya Allah SWT yang memahami pengorbanan saya sepanjang perjalanan ini,” kata Najib.

Sepanjang masa bersama-sama rakyat, beliau hanya mahu berikan usaha terbaik termasuk menyelesaikan masalah legasi yang ditinggalkan pemimpin lama kepadanya.

Najib berjaya menggandakan saiz ekonomi negara dari RM700 bilion ke RM1.4 trilion.

Membina aset negara dengan peningkatan nilai aset Khazanah ke tahap RM116 bilion dari RM33 bilion iaitu peningkatan hampir empat kali ganda.

Mengukuhkan aset Tabung Haji lebih tiga kali ganda dari RM21 bilion ke RM74 bilion. Membawa aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dari RM300 bilion ke RM800 bilion iaitu kenaikan hampir tiga kali ganda.

Beliau juga memastikan rizab Petronas meningkat dari RM30 bilion kepada RM176 bilion iaitu hampir enam kali ganda.

Pentadbiran Najib juga berjaya menaikkan jumlah kekayaan negara dari RM800 bilion ke lebih RM2 trilion.

Sementara itu beliau turut mengingatkan mengenai dunia politik yang dikatakan licik dengan penganiayaan, kejam, bermusuhan, keikhlasan dibalas pengkhianatan dan penghinaan.

Malah dia sendiri telah melihat dan mengalami kesemua yang dikatakan itu sehingga kini.

“Mungkin inilah perjalanan yang ditakdirkan di dunia buat saya.
Saya mula aktif dalam dunia politik dan perkhidmatan awam pada tahun 1976. Ke hari ini, 46 tahun lamanya.

“Memimpin Malaysia hampir 10 tahun. Ada yang kata naik tidak memijak lawan, jatuh tidak mengheret kawan.

“I guess in politics, you should never be a gentleman. But that’s my personality, how can I be someone I am not?” luahnya.

Mengenai UMNO dan Barisan Nasional, Najib berkata, banyak pengorbanan peribadi telah dilakukan untuk parti.

Mungkin kerana itu apa yang dialaminya ketika ini adalah harga pengorbanan yang perlu beliau lunaskan.

“Merakyatkan kerajaan dan memberikan segala yang ada kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Ke pengorbanan peribadi saya – masa dan keluarga, dari fajar subuh hingga ke senja mentari.

“Kini berhadapan dengan dugaan yang berat menguji saya dan keluarga. Saya hadapi. Mungkin ….. inilah harga pengorbanannya,” kata Najib.

Bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun sejak Selasa lalu selepas Mahkamah Persekutuan mensabitkan kesalahannya dalam kes melibatkan SRC International.

Cubaan terakhir Najib bagi mengubah nasibnya, dengan mendapatkan khidmat Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw telah ditolak.

Permohonannya supaya peguam baharu yang dilantik diberikan masa untuk membuat persediaan juga ditolak oleh mahkamah.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast