KUALA LUMPUR – Filem aksi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa terus mencipta apabila berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM8 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan.

Lebih membanggakan, filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See ini bakal menemui penonton di Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.

Penerbit filem tersebut iaitu Josiah Chieng dalam satu kenyataan berkata, kejayaan naskhah itu menembusi pasaran antarabangsa adalah pencapaian membanggakan kerana ia secara tidak langsung dapat mengangkat kualiti filem tempatan ke peringkat dunia.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dipersembahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Filem ini mengisahkan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh.

Di Malaysia, pasukan TUDM melancarkan misi untuk menyelamatkan mereka.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.