azalina othman said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan status kewarganegaraan anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan dengan lelaki asing perlu diselesaikan oleh kerajaan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika isu tersebut berlegar antara badan eksekutif, kehakiman dan perundangan, anak-anak terbabit mencapai usia 18 tahun dan mereka hilang hak untuk diiktiraf sebagai Anak Malaysia.

Menurut beliau, hakikatnya, ketiga-tiga badan berkenaan mampu melakukan perkara yang betul untuk kanak-kanak terbabit malah badan kehakiman telah melaksanakan aktivisme kehakiman dalam keputusan Mahkamah Tinggi serta penghakiman berbeza oleh Hakim Datuk Nantha Balan.

“Undang-undang tidak boleh statik atau tidak boleh dipinda. Struktur ketiga-tiga cabang kerajaan itu direka khusus untuk menangani isu-isu sedemikian iaitu mentafsir dan menyemak semua undang-undang yang tidak lagi memenuhi matlamatnya dan membahayakan rakyat.

“Hakikatnya adalah proses penggubalan undang-undang kita mesti datang daripada kerajaan selaku pemilik mana-mana pindaan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia boleh dinafikan kerakyatan berdasarkan undang-undang.

Ahli Parlimen Pengerang itu menambah, jawatankuasanya bersedia untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu tersebut.

Namun, katanya, tanpa Parlimen yang bebas, tidak memihak dan disokong dengan baik, beliau meragui peluang rang undang-undang persendirian tersebut untuk dibentangkan di Parlimen.

“Ahli-ahli Parlimen, kita telah mencatatkan sejarah apabila sebulat suara menyokong pindaan Perlembagaan bagi meluluskan undang-undang antilompat parti.

“Sekiranya dan apabila rang undang-undang dikemukakan kepada kita bagi melakukan pindaan kecil terhadap Perlembagaan bagi membolehkan kedua-dua ibu dan bapa mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka, saya percaya kita boleh menyokongnya secara sebulat suara,” jelasnya.

Azalina berkata, perbuatan membiarkan ribuan kanak-kanak dalam keadaan tanpa kewarganegaraan adalah tidak adil dan tidak beretika, sama seperti tindakan melompat parti.

“Tindakan mengenakan dan memanjangkan penderitaan yang ditanggung oleh keluarga dan kanak-kanak mencemarkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette