KUANTAN – Barisan Nasional (BN) akan memperhalusi cadangan supaya kuota pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen dikaji semula sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, perlu diperhalusi dan salah satu strategi agar dapat memenangi PRU15 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
“Apa jua yang kita buat langkah mesti betul, kalau langkah akan kalah mengapa kita ke situ, itu maksud Wan Rosdy (Pengerusi BN Pahang).
“Saya sambut dan akan lihat kerana perlu mengambil kira juga beberapa faktor lain yang perlu diperhalusi dengan begitu rapi dan baik,” katanya, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan parti komponen BN Negeri Pahang, di sini,hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy dalam ucapannya meminta supaya pucuk pimpinan mengkaji sehabis baik sistem kuota melibatkan kerusi Parlimen dan DUN sebelum PRU15.
“Kalau dah tahu kalah nak letak juga buat apa, ia menghabiskan masa, duit dan tenaga. Saya minta maaf kepada rakan-rakan komponen, sebagai pemimpin saya kena tonjolkan perkara ini untuk kebaikan kita bersama…sebab kita nak menang,” kata Wan Rosdy.
Menurut Wan Rosdy, BN Pahang menyasarkan memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen dan 35 daripada 42 kerusi DUN pada PRU15 nanti.
Sementara itu, Mohamad, dalam ucapannya, berkata Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen PRU15 akan diadakan tidak lama lagi.
“…tapi beliau tidak bagi tarikh, sehingga beliau terpaksa kata takkan nak bawa sampai tahun depan, jadi jelas PRU tahun ini, kalau tahun ini takkan nak buat bulan 12 (Disember) nanti orang berenang pulak nak pergi mengundi…itu jangka masa yang perlu kita perhati betul-betul dan lakukan gerak kerja,” katanya. – BERNAMA