Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan para pendeposit untuk mengambil langkah keselamatan dengan menghadkan jumlah pindahan harian melalui perbankan internet bank-bank rakan strategik TH dan membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

Ia susulan beberapa kes penipuan dan kehilangan wang simpanan akibat ditipu scammer yang menyamar sebagai wakil dari pihak berkuasa atau pihak kerajaan.

Penipuan melibatkan pendeposit perbankan bank-bank rakan strategik TH, memberi maklumat akaun termasuk kata laluan perbankan internet akaun TH dan bank-bank rakan strategik TH serta memuat turun perisian komponen hasad (malware) ke dalam telefon.

Oleh itu, katanya, pendeposit juga perlu sentiasa memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak.

Langkah keselamatan ini penting agar pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau scammer.

TH juga sedang mengambil langkah untuk mengurangkan had pindahan harian melalui perbankan internet bank-bank rakan strategik bagi mengekang penipuan dalam talian kepada pendeposit.

Manakala platfom atas talian TH iaitu THiJARI amat selamat kerana pengeluaran atau pindahan keluar dari TH adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Malah, THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan, TAC serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI.

Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon manakala arahan pindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun bank milik sendiri sahaja.

Selain itu, hanya satu sesi log masuk sahaja yang dibenarkan bagi setiap akses THiJARI dan sekiranya terdapat akses kedua di peranti lain, sesi semasa akan diberhentikan.

Maklumat sulit akaun pendeposit juga tidak akan disimpan dalam telefon bimbit.

TH berkata, pihaknya sentiasa melakukan kemaskini dan penambahbaikan kawalan keselamatan teknologi sedia ada secara berterusan.

Tambahnya, TH turut memandang serius penyalahgunaan media sosial dalam penyebaran berita palsu atau kandungan tidak jelas sehingga menimbulkan suasana keresahan dan panik dalam kalangan orang ramai terhadap TH.

TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform-platform komunikasi rasmi TH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast