KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli tiba di Dataran Merdeka untuk Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65.
Keberangkatan tiba pemimpin negara berkenaan dengan menaiki kereta kuda diraja pada 8.04 pagi tadi.
Yang di-Pertuan Agong kemudian melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja, diketuai oleh Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.
Selesai itu, acara persembahan dan perarakan akan memeriahkan Hari Kemerdekaan pada tahun ini yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama
Kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara hari ini cukup luar biasa selepas dua tahun rakyat Malaysia tidak dapat berkumpul beramai-ramai akibat pandemik Covid-19.
Di Dataran Merdeka ketika ini, ribuan rakyat daripada pelbagai kaum dan umur memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan sejak awal pagi tadi.
Sejak jam 4.30 pagi lagi kawasan ini mula menerima orang ramai yang datang untuk bersama-sama menyambut hari bersejarah meskipun acara sambutan bermula pada 8 pagi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawasan dari Stesen LRT Masjid Jamek ke Dataran Merdeka serta sekitar Jalan Tuanku Abdul Abdul Rahman dipenuhi lautan manusia.- MalaysiaGazette