Sulaiman (kanan) melihat sebahagian daripada sembilan 'bayi merdeka' yang dilahirkan secara normal dan pembedahan bermula jam 3.32 pagi sehingga 9.38 pagi di Hospital Melaka, hari ini.

MELAKA – Seramai sembilan ‘bayi merdeka’ dilahirkan di Hospital Melaka di sini pada tarikh sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, daripada jumlah tersebut, seramai empat bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan secara normal dan pembedahan bermula jam 3.32 pagi sehingga 9.38 pagi tadi.

Menurutnya, bayi pertama dilahirkan adalah lelaki seberat 2.31 kilogram (kg) manakala bayi terakhir adalah bayi perempuan.

“Sehingga jam 10 pagi ini, seramai sembilan ‘bayi merdeka’ selamat dilahirkan iaitu bayi pertama lelaki dan dimaklumkan ada lima lagi ibu sedang menunggu waktu kelahiran.

“Memang menjadi tradisi kita setiap kali sambutan Kemerdekaan adalah meraikan bayi-bayi yang lahir pada 31 Ogos dan saya doakan agar anak-anak menjadi seorang pemimpin yang mampu mengurus serta mentadir negara suatu hari nanti,” katanya selepas mengadakan lawatan di Hospital Melaka, hari ini.

Beliau turut ditemani isteri, Datin Seri Utama Munirah M. Yusop yang meluangkan masa bertanya khabar kepada sembilan ibu berkenaan, di samping menyampaikan cenderahati berupa hamper.

Sementara itu, seorang ibu, Hannah Saniah Mohd Safiq Goh, 29, berkata, dia tidak menyangka anak sulungnya lahir pada tanggal 31 Ogos, dua hari lewat dari tarikh jangkaan.

“Apapun saya bersyukur kepada Allah kerana segala urusan dipermudahkan dan menjadi bonus mendapat ‘anak merdeka’,” katanya.

Suzzana Mohd Shah, 39, pula gembira selamat melahir anak keenamnya yang jatuh pada Hari Kemerdekaan Ke-65.

“Sepatutnya saya dijadual menjalani pembedahan 2 September ini tetapi sudah rezeki mendapat ‘anak merdeka’,”katanya. – MalaysiaGazette