Gambar hiasan

MERDEKA istilah yang sering dilaungkan menjelang kedatangan bulan Ogos. Pasti setiap rakyat Malaysia mengingati Tarikh keramat 31 ogos setiap tahun. Hal ini kerana, saban tahun setiap dari kita disajikan dengan sambutan kemerdekaan. Pelbagai acara dan agenda telah tersedia dalam meningkatkan semangat patriotisme dan nasionalisme warga negara. Tidak kurang sambutan di pelbagai peringkat seperti peringkat sekolah,

Institusi Pengajian Tinggi, kampung, daerah, negeri dan kebangsaan. Selain itu, panorama menarik melihat kibaran jalur gemilang di mana sahaja menggamit jiwa setelah 2 tahun bersilih ganti melalui detik berkurung dan menghindar sosialisasi dek kerana virus yang menular. Kini semangat merdeka kian terasa dan kembali memenuhi ruang legar kotak minda dan rasa. Apabila lontaran merdeka bergema kembali, tidak dinafikan ia bermula di rumah. Institusi keluarga adalah perakam detik awal bagaimana semangat cintakan negara ini tercipta. Ibu dan bapa dasarnya adalah individu yang bertanggungjawab membawa penghayatan terhadap hari bersejarah bermulanya pembebasan dari takluk dan jajahan negara luar.

Kesejahteraan institusi keluarga merupakan elemen penting dalam pembangunan sesebuah negara. Hal ini amatlah bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. Tema ini amatlah selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia. Ia diperkenalkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, Tan Sri Annuar Musa pada 8 Ogos lalu.

Secara fitrahnya, setiap insan di dunia mengimpikan keluarga yang bahagia dan sejahtera. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Malaysia mendefinisikan keluarga sejahtera sebagai sesuatu keadaan keluarga dalam sesebuah negara yang berada dalam keadaan selamat, sihat, aman, selesa, harmoni dan memuaskan Hal ini merangkumi pelbagai aspek termasuklah kepuasan dan keselesaan seperti rohani, ekonomi dan kewangan, mental, psikososial, kesihatan, politik dan kelestarian. Manakala, menurut sarjana Islam al-Farabi, kebahagiaan atau kesejahteraan sesebuah keluarga memerlukan kepemimpinan yang baik iaitu dari ibu bapa yang boleh diharapkan untuk menunaikan tanggungjawab.

Beliau juga telah membahaskan hidup yang bahagia dan aman harus mengamalkan nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan serta tingkah laku yang baik kerana semua amalan tersebut berperanan dalam menentukan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ibu bapa seharusnya menjadi contoh teladan atau ‘role model’ kepada anak-anak dalam membentuk nilai-nilai murni ini. Pembentukan keluarga yang sejahtera ini merupakan pemangkin kepada semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan ahlinya. Keluarga yang bahagia dapat melahirkan ‘sense of belonging’ dalam diri setiap ahlinya. Perasaan ini amatlah penting terutamanya kepada anak-anak muda kerana apabila mereka belajar, bekerja dan hidup bermasyarakat, mereka akan mempunyai jati diri dan nilai sebagai seorang warganegara yang mempunyai tanggungjawab terhadap negara.

Sikap ini akan menjadikan mereka warganegara yang berkualiti dalam proses membangunkan dan memajukan negara. Hal ini kerana mereka akan mepunyai sikap kesungguhan untuk membangunkan diri, keluarga dan masyarakat yang tujuan akhirnya untuk menjadikan negara lebih maju dan produktif. Mereka akan merasakan bahawa bumi Malaysia ini adalah milik mereka yang sewajarnya mereka pertahankan daripada segala ancaman buruk oleh anasir-anasir jahat. Selain itu, bagi menyemai jiwa merdeka dalam diri setiap masyarakat peranan institusi kekeluargaan di Malaysia haruslah diperkukuhkan.

Apa yang menyedihkan kini adalah institusi kekeluargaan di Malaysia dilihat semakin goyah dan hampir musnah dek kerana krisis rumahtangga yang gagal diselesaikan oleh ahlinya. Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan kes dalam isu-isu membabitkan masalah institusi kekeluargaan seperti kes perceraian, keganasan rumahtangga dan penderaan kanak-kanak di Malaysia di mana kes-kes sebegini merekodkan peningkatan yang luar biasa pada tahun 2020 sehingga kini. Malah, Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaporkan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia pada tahun 2019 masih kekal pada tahap sederhana iaitu 7.72.

Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia pada tahun 2020 menunjukkan jumlah perceraian dalam kalangan rakyat negara ini meningkat sebanyak 12 peratus iaitu sebanyak 56,975 kes perceraian direkodkan pada 2019 berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya. Menurut Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020, apa yang menyedihkan lagi adalah kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes perceraian di negara ini adalah dalam kalangan orang Islam dan golongan B40 seperti peniaga kecil-kecilan, pembantu kedai makan, pekerja kilang dan ada juga yang bekerja sendiri. Manakala laporan dari Pertubuhan Pertolongan Wanita (Woman Aid Organization, WAO) pada tahun 2020 menunjukkan permasalahan mengenai keganasan rumah tangga yang dikumpul menerusi talian perkhidmatan WAO meningkat sebanyak 3.4 kali ganda pada Mei 2020.

Dalam masa yang sama, tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2020 mendapati bagi kes penderaan fizikal kanak-kanak sehingga September 2020 sahaja, sebanyak 1,120 kes telah pun dicatatkan berbanding 1,571 kes keseluruhan pada tahun 2019. Tambahan itu, bagi kes penderaan emosi kanak-kanak pula sebanyak 124 kes dicatatkan pada tahun 2018, diikuti 113 kes pada tahun 2019 dan meningkat kepada 131 kes sehingga September 2020. Kesemua statistik ini tidak harus dipandang enteng. Sekiranya dibiarkan, situasi ini akan menjadi lebih parah yang akan menyumbang kepada lebih banyak masalah sosial di dalam masyarakat. Kebejatan masalah sosial yang kian meruncing ini akan melahirkan modal insan yang kurang resilien, tiada jati diri dan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang boleh merosakkan diri mereka sendiri dan negara. Jiwa mereka terus dijajah dan boleh menyebabkan negara mengalami kemunduran.

Semangat kemerdekaan perlu disemai dalam kalangan anak-anak kerana generasi kini dilahirkan dalam dunia yang telah bebas dijajah. Mereka dilihat mempunyai kurang penghayatan semangat patriotisme di dalam diri. Justeru menyemai semangat patriotisme dalam diri anak-anak boleh dilakukan dengan meluangkan masa bercerita tentang sejarah pahlawan negara memperjuangkan tanah air. Misalnya, sejarah cerita Tunku Abdul Rahman Putra, Tok janggut, Mat Kilau, Rentap, Mat Salleh dan tokoh lain. Di samping itu aktiviti ini juga boleh dilakukan menerusi menonton filem perjuangaan pahlawan di televisyen seperti Leftenan Adnan, Bukit Kepong, Tanda Putera, 1957: Hati Malaya dan sebagainya. Hal ini boleh membuka ruang minda anak untuk mengahayati semangat perjuangaan dengan lebih mendalam.

Selain itu, pemupukan budaya membaca budaya ilmu juga menjadi kekuatan dalam menanam semangat patriotisme di kalangan anak. Budaya membaca membuka mata anak untuk mengetahui sejarah negara dengan baik dan penguasaan ilmu tentang negara juga. Anak-anak tidak akan mudah dipermainkan dengan apa jua unsur yang menyebabkan mereka lalai untuk memiliki semangat cintakan negara. Justeru, penguasaan ilmu menerusi budaya membaca memberikan anak lebih cakna untuk menguasai sejarah negara sekaligus memupuk semangat juang dalam diri mereka untuk mempertahankan negara sentiasa. Komponen pengurusan rohani dalam sesebuah keluarga juga dilihat amat penting dalam menyemai jiwa merdeka kepada rakyat.

Ia dapat dilihat daripada aspek pengurusan emosi, pengurusan stres dan pengurusan konflik dalam sesebuah rumahtangga yang teratur dan sistematik. Bagi mencapai keseimbangan aspek rohani, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak. Setiap keluarga seharusnya mengamalkan solat berjemaah, makan berjemaah, membaca al-Quran bersama-sama, serta mengadakan majlis tazkirah sesama ahli keluarga. Hal ini dapat melahirkan rasa bersatu hati dan perpaduan yang seterusnya dapat dizahirkan apabila anak-anak berada dalam suatu kelompok masyarakat. Dalam masa sama, tidak akan ada sifat pentingkan diri sendiri dalam diri mereka kerana semuanya dilakukan bersama.

Konklusinya, pembentukan keluarga yang sejahtera merupakan tunjang kepada pembentukan negara yang maju dan berjaya. Terdapat banyak faktor yang perlu diambilkira dan diperbaiki dalam melahirkan rakyat yang mempunyai jati diri dan rasa cintakan negara yang tinggi. Golongan muda haruslah dididik dengan sebaik mungkin kerana merekalah merupakan warisan berharga yang bakal menerajui kepimpinan negara. Sekiranya mereka lemah, maka mundurlah negara. Warga belia dan generasi muda Malaysia haruslah mempunyai iltizam, kesungguhan, keyakinan dan ketahanan yang cukup tinggi serta luar biasa untuk menjadi tonggak penting kemajuan masa hadapan negara. Biarlah Malaysia mampu ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju yang lain.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast