JOHOR BAHRU- Sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 tahun ini lebih bermakna buat sepasang suami isteri apabila puteri sulung mereka selamat dilahirkan hari ini di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru.
Nurul Naquiah Azmi, 26, melahirkan bayi perempuan kira-kira 12.18 awal pagi tadi yang disambut Pakar Perunding Obstetik dan Ginekologi Hospital Pakar KPJ Johor, Dr Noorashikin Maan.
Ahmad Fikri Abdul Rahman 26, tidak menyangka isterinya bakal melahirkan anak perempuan pada 31 Ogos memandangkan isterinya telah mengadu sakit perut sejak awal pagi kelmarin.
“Pada awal pagi Isnin lalu isteri ada mengadu sakit perut dan kami terus hospital untuk melakukan persediaan,” katanya.
Ahmad Fikri yang gembira dengan kelahiran itu berharap puteri sulungnya membesar dengan sihat dan dapat membanggakan mereka serta menyumbangkan khidmat bakti kepada negara pada masa akan datang.
Bapa muda yang juga seorang jururawat di hospital berkenaan turut memanjatkan rasa syukur kerana proses melahirkan anaknya mudah.
Pada masa sama beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua petugas-petugas hospital yang terlibat. -MalaysiaGazette