Peguam, Akberdin Abdul Kader (dua kiri) bersama pasukan peguamnya hadir ke mahkamah pada hari keputusan anak guamnya, Datin Seri Rosmah Mansor sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan prosiding pagi ini bagi keputusan  kes rasuah solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Prosiding pagi ini bermula dengan permohonan ‘saat akhir’ yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Rosmah yang mahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar dan menghakimi prosiding kes tersebut.

Hari ini sepatutnya Mohammed Zaini menyampaikan keputusan sama ada isteri bekas Perdana Menteri itu bebas atau disabitkan salah dalam perbicaraan rasuah yang sudah berlangsung hampir empat tahun.

Namun apabila pembelaan memohon prosiding ditangguhkan sekurang-kurangnya 48 jam (dua hari) bagi membolehkan pihaknya menyediakan hujahan bertulis kepada pendakwaan, Sri Ram menolaknya sambil menyindir peguam bela, Datuk Jagjit Singh.

1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

“Saya rasa apabila kita mahu mewakili anak guam kita, sepatutnya kita sudah bersedia untuk apa jua kemungkinan, lagi-lagi pengamal undang-undang berpengalaman. Kita sepatutnya sudah bersedia bukanlah dengan meminta apa-apa penangguhan.

“Saya dan pasukan saya bersedia untuk berhujah apa sahaja tanpa melihat hujahan bertulis dari anda hari ini juga. Tidak perlu tangguh,” tegasnya.

Bagaimanapun kata Jagjit, dia tidak boleh tergesa-gesa dan langsung tidak bersedia untuk mengambil sebarang risiko dalam prosiding ini.

“Saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil risiko seperti ini. Kami perlu masa untuk menjawab kepada pendakwaan,” hujah Jagjit.

Rosmah Mansor dikawal polis ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar hukuman ke atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

Bagaimanapun Mohamed Zaini pula kemudian menyoal idea siapakah untuk membuat permohonan saat akhir ketika cuti umum Hari Kebangsaan supaya beliau menarik diri daripada terus mendengar kes rasuah solar hibrid ini.

Kata Jagjit dan juga Datuk Akberdin Abdul Kader, mereka telah mendapat arahan dari anak guam untuk berbuat demikian.

Namun kata Mohammed Zaini, beliau tidak berminat untuk sebarang penangguhan sebaliknya mahu mendengar apakah hujah yang akan dikemukakan oleh pembelaan berhubung permohonan mereka semalam.

“Saya hendak dengar hari ini juga. Saya sendiri telah menghabiskan masa untuk membaca permohonan anda ketika hari cuti saya,” tegasnya.

Jagjit masih tidak berputus asa dan berterusan meminta penangguhan namun ditolak.

“Saya beri setengah jam untuk anda, kita mula selepas itu,” ujarnya.

Prosiding sedang ditangguh setengah jam ketika ini.

Rosmah sedang berdepan dengan dakwaan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast