KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion semalam tampak tenang dan lebih ceria pagi ini.
Rosmah hadir ke prosiding mahkamah membabitkan suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeweleng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) minggu lepas oleh Mahkamah Persekutuan.
Beliau yang tiba sekitar 8.45 pagi di kompleks mahkamah sempat melemparkan senyuman dan menegur beberapa jurukamera sambil mengadu kakinya sakit.
Semalam ketika Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menyabitkan salah serta mahu menjatuhkan hukuman, Rosmah yang duduk di galeri tertuduh dilihat menangis.
Malah ketika diberi peluang membuat kenyataan dari kandang tertuduh, Rosmah memohon mahkamah untuk mempertimbangkan jasa serta sumbangannya selama bergelar isteri Perdana Menteri.
Rosmah berkata, beliau tidak mahu menyebut mengenai sumbangannya, namun menegaskan banyak memulakan program untuk kanak-kanak di negara ini.
Katanya, beliau berasa bangga atas sumbangannya bagi memajukan kanak-kanak di negara ini.
“Saya tak pernah terfikir untuk membazir wang. Saya bertanggungjawab ke atas BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan kami mempunyai RM45 juta, tidak pernah saya sentuh satu sen pun,” katanya teresak.
Beliau juga sempat berdoa dan menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT kerana padanya yang teraniya akan mendapat keadilan juga, kebenaran akan muncul juga.
Dalam pada itu, anak Rosmah dan Najib, Nooryana Najwa tiba bersama anak lelakinya lebih awal ke prosiding sekitar jam 8.30 pagi.
Walaupun tidak bercakap dengan media namun sebentar tadi Nooryana ada memuat naik status yang menulis bagaimana anak lelakinya (cucu Najib) begitu merindui datuknya.
“Menunggu kedatangan Atok di mahkamah awal pagi ini. Cukuplah jika dapat lambai atau ‘flying kiss’ dari jauh sahaja. Saya rindu dan sayang Atok 10000 juta kali,” tulisnya.
Noryana juga memuat naik gambar anak lelakinya dalam status di Instagram itu. -MalaysiaGazette