MARAN – Tradisi mengemping padi ketika musim menuai mungkin asing dalam kalangan generasi moden, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar.
Menerusi Pesta Mengemping Padi yang diadakan di Kampung Bukit Chempedak, di sini hari ini, tradisi itu dihidupkan kembali dengan pengisian pelbagai acara sampingan.
Penganjur program, Akmal Dahalan berkata, beliau mahu mengembalikan amalan masyarakat setempat kepada majlis gotong-royong dan bersama-sama menanam dan menuai padi.
“Kita cuba nak hidupkan semula pesta menuai ini untuk tatapan generasi yang akan datang. Kalau tengok hari ini, ada yang main lumpur, makan beramai-ramai, masak beramai-ramai. Seronok,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selain mengemping padi, puluhan penduduk setempat yang mengambil bahagian dalam program bermula jam 8 pagi itu turut dihidangkan dengan pelbagai aktiviti sukan rakyat yang sesuai untuk semua lapisan umur.
“Tadi kita ada pertandingan tangkap itik, tarik tali, memanah bebas, berkuda dan memancing,” katanya.
Gelagat mencuit hati anak-anak kecil yang tidak melepaskan peluang bebas bermain lumpur, menangkap itik dan tarik tali memeriahkan suasana di tengah-tengah bendang berkeluasan lebih 50 ekar itu.
Bukan sahaja kanak-kanak, ibu bapa yang turut mengambil bahagian menangkap itik juga menggamatkan suasana apabila mereka yang hanya menonton turut terpalit lumpur.
Menurut Akmal, melihat kepada sambutan memberangsangkan hari ini, beliau berhasrat untuk memperluas dan memperkukuh aktiviti agrotourism di Projek Padi Paya Bukit Chempedak itu dengan mensasarkan penyertaan pelancong dari luar negara.
“Jadi, besarlah harapan saya agar Paya Padi Bukit Chempedak ini mendapat sokongan semua. Insyaallah kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan,” ujarnya.
Majlis tersebut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang juga Ahli Parlimen Maran.
Beliau yang tiba pada acara terbabit dengan menaiki kuda mencuba kesemua aktiviti yang disediakan sebelum memanah belon di papan sasar sebagai simbolik perasmian program terbabit . – MalaysiaGazette