Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan penggunaan logo Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  penggunaan logo itu antara strategi yang akan dibincangkan Majlis Tertinggi PN.

“Apa-apa pun semua perkara dalam PN ini kita bincang bersama-sama. Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai, kita akan ambil kira,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, penyokong parti itu termasuk akar umbinya alah dengan logo PN yang mempunyai warna biru seakan Barisan Nasional (BN).

Dalam perkembangan berasingan mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata, ia sekadar pandangan tentang keterbukaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun beliau tidak menafikan ia sesuatu yang sukar dilakukan kerana tentangan daripada akar umbi.

“Itu cuma nak menunjukkan apa orang kata, sebelum ini ada pihak-pihak yang mencadangkan kalau boleh mengelakkan pertembungan.

“Suara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PN iaitu Ketua Pemuda Pas dalam konvensyen, jadi saya bagi reaksi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette