Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor berucap ketika hadir pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas sasar untuk bertanding 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah tersebut adalah separuh daripada kerusi yang ditandingi pada PRU-14.

Berucap dalam pengulungan di Muktamar Tahunan Pas ke-68 di sini hari ini, Muhammad Sanusi berkata, parti itu hanya akan bertanding di kawasan-kawasan yang boleh dimenangi sahaja.

Beliau berkata, sekiranya Pas berjaya menang 40 kerusi Parlimen maknanya tidak ada mana-mana parti yang boleh membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa penglibatan Pas.

“Daripada 80 jawatankuasa sedang analisa kawasan pilihn raya yang capai KPI (indeks prestasi utama). Mana-mana kawasan yang tak capai KPI digugur, diganti kawasan lain.

“Sasaran menang paling minima 40 kerusi Parlimen. Jika ada 40 kerusi Parlimen tak ada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan persekutuan tanpa Pas,” katanya.

Dalam ucapannya Muhammad Sanusi berkata, Pas menyasarkan presiden parti itu akan menjadi Perdana Menteri pada tahun 2050.

“Banyangkan jika kita ada 40 kerusi, inilah 40 kerusi ‘bau loncatan’ perjalanan panjangan 2020 hingg 2050. Kalau hidup lagi perdana menteri Malaysia daripada Pas,” katanya.

Sementara itu kecuali Terenggau, Pas masih belum memutuskan penggunaan logo sendiri di negeri lain pada PRU15.

Kepimpinan parti itu masih berbincang dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Bila bercakap pasal logo Tuan Guru Terengganu (Tan Sri Abdul Hadi Awang) senyum sebab telah selesai. Pengerusi Bersatu Terengganu setuju.

“Perkara ini masih dalam perbincangan, dok masak belum hidang. Saya harap parti buat keputusan paling baik dan menguntungkan pas.

“Kena runding dan bincang, rakan kena setuju, kalau gagah rakan tak setuju, pecah, merugikan, kita kena berlapang dada selepas keputusan dibuat,” katanya.

Malaysia Gazette sebelum ini melaporkan Pas Kedah berhasrat untuk mengikut jejak Kelantan dan Terengganu tidak menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mahu memakai logo ‘bulan’ pada PRU-15 nanti.

Muhammad Sanusi berkata, pengundi Pas ‘alergik’ dan keliru dengan lambang PN yang berwarna biru kerana seakan-akan sama dengan logo Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette