Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika beramah mesra bersama pengamal media ketika menghadiri ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pimpinan tertinggi parti itu akan memperincikan penggunaan logo Pas disemua negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ia susulan usul perwakilan beberapa negeri meminta pimpinan parti untuk mempertimbangkan penggunaan logo parti itu pada PRU-15.

Jelas beliau, perkara itu akan diperincikan pada peringkat Majlis Syura Ulama Pas sebelum dibawa kepada pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk pertimbangan lanjut.

“Kita ada terima satu usul membabitkan penggunaan logo parti pada PRU-15 namun ia diterima tanpa bahas susulan ia soal keputusan parti.

“Minggu depan kita mengadakan mesyuarat bulanan dengan pimpinan tertinggi PN dan dalam mesyuarat itu kita akan pertimbangkan usul yang dibawa.

“Secara asasnya saya tengok Pengerusi PN berlapang dada untuk dengar pandangan tersebut untuk kita putuskan bersama dalam mesyuarat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat bilik media yang disediakan Pas Kedah sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini.

Setakat ini, perwakilan dari empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah serta Selangor meminta penggunaan logo Pas pada PRU-15. – MalaysiaGazette