Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun ditemukan lemas di sebatang sungai di Kampung Lokub, Sepanggar di sini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan Indah Tawasil ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) tersekat pada objek di dasar sungai pada kedalaman 25 meter pada 6.30 petang tadi.

Menurut kenyataan itu, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada 1.03 tengah hari sebelum pasukan penyelamat tiba kira-kira 40 minit kemudian, disusuli operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh 23 anggota.

“Menurut pemanggil terdapat seorang kanak-kanak perempuan OKU berada di tepi jambatan telah terjun ke dalam sungai dan didapati kanak-kanak tersebut tidak timbul.

“Pasukan bomba berada di lokasi kejadian mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi SAR dengan menggunakan kaedah penyelamatan di permukaan dan turut dibantu PPDA dengan kaedah selaman, sebelum mangsa ditemukan,” menurut kenyataan itu.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan 6.47 petang tadi.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast