Abdul Rashid Bahri dan Firdaus Ghani (kiri) bertukar dokumen selepas memeterai kerjasama strategik.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)  menjalin kerjasama strategik pendigitalan pembayaran dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk mentransformasi usahawan-usahawan naungannya ke arah pembayaran secara digital atau tanpa tunai.

Kemudahan ini fokus kepada Agrobazaar Kedai Rakyat, usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), Agrobazaar Kshopee dan Agrobazaar di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, FAMA menyasarkan seramai hampir 4,700 usahawan bimbingan di seluruh negara bakal menikmati kemudahan e-pembayaran ini.

Di samping kemudahan kepada pengguna baru e-pembayaran, insentif dipanjangkan kepada para peniaga FAMA yang telah mendaftar untuk menerima kaedah pembayaran menggunakan kad ATM MyDebit atau DuitNow QR bagi menggalakkan penggunaan kemudahan e-pembayaran tersebut.

Pelbagai manfaat yang bakal diperolehi dari kerjasama pendigitalan ini, antaranya memupuk kesedaran dan menggalakkan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan peniaga FAMA terutamaya di luar bandar sebagai kaedah pembayaran utama.

Sebelum ini, FAMA telah mewujudkan portal Agrobazaar Online (ABO) iaitu sebuah platform e-dagang pemasaran maya produk pertanian dan agro-makanan yang menemukan pengeluar, pengilang, pembekal dan pengguna.

Portal ini diuruskan sepenuhnya oleh FAMA.

Sehingga Ogos tahun 2022 seramai 7,910 usahawan dan 20,570 unit simpanan stok produk telah didaftarkan dengan nilai transaksi terkumpul sebanyak RM9.6 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Libat Urus PayNet, Firdaus Ghani berkata, bagi mendukung aspirasi pendigitalan ini, PayNet sebagai rakan strategik FAMA akan bertindak sebagai pemudah cara migrasi para usahawan FAMA kepada e-Pembayaran.

Ia akan dilaksanakan melalui pendaftaran usahawan untuk menerima bayaran menggunakan DuitNow QR dan MyDebit, seterusnya melonjakkan penglibatan mereka ke dalam ekonomi digital negara ini.

Menurutnya, sebagai tanda komitmen. PayNet akan menyalurkan bantuan dan sokongan kepada FAMA dan usahawannya dalam bentuk insentif kepada usahawan dan Pejabat FAMA di peringkat negeri dan daerah, sokongan kempen pemasaran dan juga tajaan bagi
program jerayawara atau majlis yang dianjurkan pihak FAMA. – MalaysiaGazette