Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2022 akan dilaksanakan pada 12 hingga 14 September ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, seramai 7,720 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan berkenaan di 209 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Dalam masa yang sama, seramai 1,317 orang petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.

“Dan 1,441 orang petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Bertulis,” kata kementerian berkenaan menerusi kenyataan hari ini.

KPM mengingatkan calon peperiksaan SPMU tahun 2022 merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

“Jadual waktu peperiksaan SPMU tahun 2022 dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang rasmi LP di http://lp.moe.gov.my,” tambah kenyataan berkenaan.

Menurut kementerian itu, calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.- MalaysiaGazette