BALING – Baling sekali lagi dilanda banjir kilat selepas hujan lebat tanpa henti lebih dua jam melanda daerah itu hari ini.
Hujan yang turun mulai jam 2 petang itu telah menyebabkan kawasan di Taman Bayu Sejahtera dan Kampung Sungai Batu dalam Mukim Baling dilanda banjir kilat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, setakat ini, sebanyak 27 buah rumah membabitkan 120 orang di Kampung Padang Empang yang terkesan akibat banjir itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Padang Empang.
“Kampung Bedang Bechah dan Kampung Hangus mula dinaiki air dan penduduk dinasihatkan untuk berpindah.
“Setakat jam 8 malam tadi air di kawasan Taman Bayu Sejahtera telah surut manakala kawasan jajaran Iboi hingga Kampung Hangus air masih mengalir deras setakat jam 9 malam.
“Tiada insiden kehilangan nyawa mahupun ahli keluarga hanyut dilaporkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Shamsudin, Jambatan Bailey yang didirikan sebelum ini di Iboi turut mengalami kerosakan.
“Jambatan Bailey dinaiki air dan daripada pemerhatian kasar mendapati berlaku kerosakan pada struktur jambatan.
“Jalan, jambatan ditutup pada semua termasuk kenderaan serta pejalan kaki,” jelasnya.
Sememntara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 6 petang dan anggota dikerah ke lokasi untuk melakukan tinjauan.
“Air Sungai Ketil melimpah dengan cepat dan memasuki rumah penduduk tinggal berdekatan tebing sungai.
“Kita sudah meminta penduduk keluar dari rumah dan ke tempat selamat sekiranya keadaan makin buruk kerana bimbang mereka terperangkap pada waktu malam,” katanya. – MalaysiaGazette