Mohd Mizan Aslam

KUALA LUMPUR – Wisma Putra perlu kaji semula kemasukan mana-mana tokoh kontroversi ke negara ini bagi mengelakkan Malaysia terkait dengan konflik atau isu dalam negara lain.

Pakar anti-keganasan, Prof Dr Mohd Mizan Aslam berkata, kemasukan mereka ini boleh mengundang masalah lebih besar termasuk mengeruhkan hubungan diplomatik.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada tragedi pembunuhan Kim Jong Nam yang menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara terputus.

“Keadaan ini memaksa ‘persona non grata’ dikenakan ke atas Duta Pyongyang di Kuala Lumpur.

“Perkara sama juga boleh berlaku di antara Malaysia dan China jika Hidayatullah Oghuzan masuk ke negara ini.

“Pelbagai kemungkinan boleh berlaku, lebih-lebih lagi beliau dan gerakkannya DOGU Turkistan disenaraihitamkan oleh Beijing.

“Serangan mungkin boleh dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada secara terancang atau pihak ketiga dalam bentuk ‘false-flag attack’ hingga memungkinkan Kuala Lumpur berdepan isu diplomatik serius dengan Beijing,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia Gazette difahamkan, kunjungan rasmi daripada jemaah kepimpinan etnik Uyghur yang bermarkas di Turkiye diketuai Hidayatullah akan membuat lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat.

Kunjungan itu bagi menyelaraskan isu-isu hak asasi manusia terhadap kaum mereka yang diinjak di Xinjiang.

Selain itu, delegasi kemanusiaan ini akan bertemu empat mata dengan tokoh pemimpin parti pemerintah dan pembangkang.

Hidayatullah Oghuzan merupakan antara pemimpin barisan hadapan dan pejuang utama yang menentang penindasan etnik minoriti Muslim Uighur di Xinjiang dan Turkistan Timur.

Dalam perkembangan sama, Mohd Mizan yang juga Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, Malaysia perlu jelas bahawa masalah pihak lain tidak perlu dibawa masuk ke negara ini.

“Setiap masalah perlu diselesaikan di tempat sendiri. Jika mereka sudah berada di negara ini, secara tidak langsung kita terikat dengan pelbagai peruntukan domestik mahupun luar negara.

“Lihatlah bagaimana kita harus berdepan dengan pelbagai tekanan antarabangsa termasuk ‘human right’, UNHCR dan lain-lainnya apabila kumpulan etnik Rohingya berada dalam negara ini.

“Itu belum lagi mengambil kira kerugian kewangan dan perbelanjaan yang harus ditanggung negara katanya lagi. – MalaysiaGazette