Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diiringi timbalannya, Amira Aisya bersama kepimpinan tertinggi MUDA bergambar kenangan selepas sidang media khas mengenai Persidangan PRU15 MUDA di Hotel Olympic Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyuarakan hasrat untuk menjadi salah satu daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu tidak hanya berlandaskan tujuan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) , namun untuk menjadi salah satu parti dalam blok pembangkang berkenaan.

“Bukan sekadar kolaborasi dengan PH (untuk PRU-15) tapi bermula perbincangan awal untuk penyertaan blok yang stabil dengan prinsip perjuangan yang sama,” katanya ketika sidang media selepas Persidangan PRU15 parti berkenaan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, Muda sebulat suara akan mengadakan perbincangan secara rasmi dengan PH dalam masa yang terdekat.

“Perbincangan awal secara tidak rasmi tentang penyertaan Muda ke dalam PH telah bermula beberapa bulan yang lepas selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Perbincangan tidak bersandarkan isu kerusi tapi berkenaan kesepaduan pembangkang dalam menyertai pilihan raya.

“Ini perbincangan tidak rasmi, jadi langkah seterusnya adalah perbincangan rasmi. Itu keutamaan Muda untuk pastikan pasukan ini akan memenangi PRU dan perkukuh dan martabat rakyat,” jelas Syed Saddiq.

Syed Saddiq turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Muda, Amira Aisyah Abd Aziz.

Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu masih belum membincangkan perkara berkaitan kerjasama dengan Muda.

Katanya,  perkara itu tidak berbangkit dalam mesyuarat Majlis Presiden PH. – MalaysiaGazette