Amira Aisya Abdul Aziz. - Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan akan bertanding di tidak lebih daripada 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Amira Aisyah Abd Aziz berkata, kesemua kawasan yang disasarkan parti itu adalah kerusi yang disandang oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Untuk PRU-15, kita bincangkan perkara (melibatkan kerusi yang ingin ditandingi) agak lama menerusi beberapa siri perbincangan. Tumpuan Muda bukan untuk dapatkan banyak kerusi tapi fokus beri kemenangan kepada rakyat dan beri nilai tambah kepada blok pembangkang,” katanya ketika sidang media khas selepas Persidangan PRU15 parti itu, di sini, hari ini.

Jelasnya, sasaran Muda tidak hanya tertumpu kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia sahaja bahkan di Sabah dan Sarawak.

Amira Aisyah turut mengumumkan keputusan parti tersebut untuk mempertahankan kerusi Parlimen Muar yang disandang oleh Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Muda nak umumkan juga akan beri fokus untuk pertahankan kerusi Muar,” tambah beliau.

Walaubagaimanapun katanya, keputusan yang dicapai Muda pada hari ini tertakluk kepada perbincangan rasmi yang akan diadakan dengan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette