Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan menutup kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini selepas prosiding berjalan lebih tiga tahun.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah pihaknya telah membawa 18 saksi kepada pembelaan dan menutup kes hari ini.

Pendakwaan telah memanggil 16 saksi untuk memberi keterangan termasuk memanggil Arul Kanda baru-baru ini sebagai saksi utama bagi keterangan terhadap Najib yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu.

Antara saksi-saksi lain termasuklah bekas pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad; dan bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes ini, Mohamed Zaini Mazlan telah menetapkan 7 Oktober bagi kedua-dua pihak memberi hujahan bertulis manakala 14 Oktober untuk hujahan balas sebelum mendengar hujahan berkenaan pada 28 Oktober ini.

Selepas ini Mohamed Zaini akan membuat beberapa keputusan termasuklah melepaskan, membebaskan Najib atau perintah bela diri.

Manakala Arul Kanda pula mungkin akan dibebaskan sepenuhnya atau diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Untuk makluman, prosiding ini telah berjalan selama 43 hari bermula 18 Oktober 2019 sehinggalah hari ini, 7 September 2022.

Antara saksi penting yang pernah memberikan keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Najib sedang berdepan dengan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Bekas Perdana Menteri itu kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International sebanyak RM42 juta. -MalaysiaGazette