Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Charles Lee King Long (Lee) dan Gan Kim Guan (Gan), yang merupakan rakan kongsi Kreston John & Gan dilarang daripada menerima dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual selama 12 bulan berkuatkuasa 3 Ogos 2022.

Selain larangan itu, Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) juga telah mengenakan denda sebanyak RM35,000 ke atas Lee dan RM17,500 ke atas Gan.

AOB berkata, tindakan itu dibuat susulan penemuan pelanggaran dan sekatan akibat kegagalan mereka mematuhi Piawaian Antarabangsa tentang Pengauditan (ISA) yang berkaitan semasa mengaudit PIE, dibuat selepas proses sewajarnya diberikan kepada mereka termasuk peluang untuk mereka merayu terhadap keputusan SC.

Sebagai rakan kongsi tugasan untuk pelanggan PIE, Lee telah salah menilai pertukaran PIE daripada rangka kerja perakaunan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) kepada Piawaian Pelaporan Kewangan (FRS) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Pertukaran itu didapati tidak sesuai dan tidak konsisten dengan pelaksanaan MFRS oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.

Lee juga gagal melaksanakan prosedur audit ke atas pelbagai elemen anggaran perakaunan yang berkaitan dengan kos pembangunan hartanah, serta gagal mendapatkan bukti audit yang sesuai untuk menyokong kesimpulan yang dicapai.

Dalam pelbagai keadaan, dokumentasi bagi menyokong kesimpulan yang dicapai oleh Lee didapati sama ada tidak lengkap atau tidak mencukupi.

Gan, Penyemak Kawalan Kualiti Tugasan (EQCR), telah gagal untuk menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit terpilih yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko penting dalam penglibatan dan asas kesimpulan yang dicapai.

Ini dapat dilihat dalam penggunaan rangka kerja perakaunan, kos pembangunan hartanah, perdagangan belum terima, hasil dan usaha berterusan.

AOB berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan menekankan peranan penting EQCR dalam memastikan integriti kualiti audit dan proses kawalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast