SHAH ALAM – Kerajaan hanya akan mewajibkan pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berdaftar dengan Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) untuk memperoleh kad identiti khas (MyRC) jika mencapai satu angka tertentu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penguatkuasaan itu dibuat sekiranya terdapat peningkatan jumlah pelarian itu dari semasa ke semasa.
“Sehingga 31 Julai 2022, terdapat 184,984 pemegang Kad UNHCR yang berdaftar dengan organisasi berkenaan.
“Kita nak memastikan melalui program TRIS, kita nak tahu apakah angka itu begitu sahaja ataupun ada peningkatan dari semasa ke semasa.
“Selepas keputusan dibuat majlis Jemaah Menteri, kita mendapati ada peningkatan, pada satu ketika ada pengumuman kita dengar bahawa sehingga 185,000 pelarian, dari mana datangnya mereka ini,” katanya pada sidang media di D’Sara Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau membuat lawatan kerja ke pejabat pendaftaran kad MyRC Kampung Baru Sungai Buloh untuk diberi taklimat berkenaan proses permohonan kad itu dalam kalangan pemegang kad UNCHR.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan; Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Pelaksanaan Program TRIS susulan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Julai 2022 yang telah bersetuju supaya kelulusan diberikan bagi pelaksanaan Program Pendaftaran PATI yang memegang Kad UNHCR dan Pemohon Suaka melalui TRIS.
Tambah Hamzah, pelaksanaan program TRIS untuk mengelakkan pelarian memalsukan maklumat peribadi dan kad UNCHR yang palsu.
“Kerajaan Malaysia tidak mempunyai akses kepada maklumat lengkap, fakta keberadaan golongan berkenaan serta kesahihan data yang dilaporkan oleh UNHCR.
“Hal ini kerana ketiadaan sebarang instrumen kerjasama secara rasmi antara Kerajaan Malaysia dengan UNHCR bagi perkongsian data mengenal pelarian dan pemohon Suaka.
“Sehingga kini, tiada mekanisme sedia ada membolehkan penglibatan mana-mana agensi Kerajaan dalam urusan penentuan status pelarian di negara ini.
“Ia dapat kita laksanakan melalui program TRIS ini,” jelasnya.
Katanya, sehingga 6 September 2022, seramai 30,108 orang telah berdaftar dengan sistem TRIS ini.
“Sungguhpun Malaysia mempunyai pendirian tegas dengan tidak mengiktiraf golongan pelarian, namun atas prinsip kemanusiaan kerajaan tetap menguruskan golongan tersebut secara case-by-case basis.
“Ini termasuklah memberikan akses kepada perkhidmatan kesihatan awam,pendidikan di pusat bimbingan alternatif yang berdaftar serta pekerjaan di sektor-sektor yang telah dikenal pasti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette