Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media selepas Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 08 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mencampuri urusan mahkamah dalam kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Visa Luar Negara (VLN).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyerahkan urusan pendakwaan itu kepada mahkamah dan enggan mengulas ekoran dakwaan kononnya Ahmad Zahid menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

“Saya beginilah, perkara-perkara berkenaan mahkamah, saya tidak mahu mengulasnya kerana ia mungkin subjudis.

“Biarlah kes yang melibatkan Datuk Seri Zahid itu ditentukan oleh mahkamah dan kes itu pun telah berakhir dengan penyerahan daripada pihak pendakwaan.

“Mahkamah akan menentukan keputusan dalam tempoh masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, pihak pembelaan mendakwa 40 pertuduhan menerima suapan membabitkan VLN yang dihadapi oleh Ahmad Zahid jelas menunjukkan wujud pendakwaan terpilih dan tiada kes prima facie.

Peguam utama kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, mahkamah dan undang-undang di negara ini tidak boleh membiarkan pendakwaan terpilih yang sememangnya bersifat diskriminasi. – MalaysiaGazette