Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

GEORGE TOWN – Biro Guaman dan Aduan Awam PKR Pulau Pinang menggesa polis menghentikan intimidasi terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Sebaliknya pihak berkuasa perlu memberi fokus dalam siasatan skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS), kata Timbalan Pengerusi Biro Guaman dan Aduan Awam PKR Pulau Pinang, Darwin Lim Chee Chien.

Ini kerana pihaknya mendapati tiada tindakan lanjut diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan juga seorang individu wanita yang bernama Zainab Mohd Salleh meskipun banyak maklumat berkaitan pembabitan mereka didedahkan Rafizi.

“Rafizi seolah-olah suspek yang terlibat dalam skandal LCS apabila dia yang segera disiasat oleh polis selain telefon bimbitnya dirampas.

“Ini jelas bahawa ada udang disebalik batu di dalam penyiasatan kes ini,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Darwin Lim yang juga Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri turut menggesa polis supaya menghentikan intimidasi dan penindasan terhadap Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim yang sebelum ini membuat laporan polis terhadap skandal berkenaan.

Jelasnya, Atyrah telah dipanggil beberapa kali oleh pihak polis untuk memberi keterangan untuk skandal projek LCS tersebut.

“Walaupun polis mempunyai kuasa untuk membuat siasatan, namun perlu diingatkan bahawa segala kuasa yang diberi kepada polis bukannya kuasa mutlak dan perlu digunakan dengan sederhana tertakluk kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu perlindungan terhadap hak kebebasan diri.

“Memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus mengendalikan kes ini secara telus dan mengambil tindakan yang segera terhadap individu yang terlibat walaupun status individu tersebut menteri,” katanya. – MalayisaGazette