KUALA LUMPUR – Kemunculan aplikasi baharu perkhidmatan e-hailing sejak kebelakangan tidak dinafikan sebagai satu persaingan dalam ekonomi gig yang kian berkembang sejak pasca pandemik Covid-19, April lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagaimanapun persiangan itu hanya menjadi sihat jika padang permainan sama rata dan mengikut undang-undang.
“Betul persaingan sihat tetapi pada masa sama dia mesti juga padang sama rata, jangan satu aspek kena kawal selia, satu lagi terbebas daripada kawal selia, itu tidak adil.
“e-hailing terpaksa bayar macam-macam kos, nak masuk kena ada lesen, kena masuk Puspakom, kena bayar EVP (Permit Kenderaan Ehailing), insurans dan sebagainya.
“Di pihak lain, boleh buat aplikasi baharu, elak daripada kena bayar, tidak dikawal selia atau tidak dikuatkuasakan menggunakan peraturan sedia ada.
“Apakah itu adil? Itu antara perkara yang kita rasa penting untuk padang itu sama rata. Barulah kita bercakap soal persaingan yang sihat,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.
Terdahulu Asyraf mengadakan rundingan meja bulat hampir dua jam bersama Gabungan Ehailing Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (DPMM).
Hasil pertemuan itu Pergerakan Pemuda UMNO menghasilkan tiga resolusi utama sebelum diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan.
Antaranya, kerajaan digesa mengkaji semula kos dan cara milikan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), EVP, Puspakom, insurans eHailing dan lain-lain berkaitan.
Menurut resolusi itu, ramai pemandu e-hailing dibebani dengan pelbagai kos permulaan dan tahunan sejak Akta 715 dan Akta 333 dikuatkuasakan pada 12 Oktober 2019.
“Resolusi ini menggesa kerajaan menetapkan kadar premium untuk insurans e-hailing kepada RM0.35 sehari berbanding RM400 setahun ketika ini.
“Kos pemeriksaan kenderaan Puspakom juga dicadangkan diturunkan kepada RM10 setahun, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ditambah baik dengan faedah Ilat, Penakat dan Kematian Semulajadi.
“Permohonan EVP oleh pemandu ehailing ke APAD tanpa birokrasi dari syarikat perkhidmatan ehailing,” katanya.
Katanya, demi menjamin kebajikan pemandu e-hailing, persidangan juga menuntut beberapa perkara termasuk harga tambang asas ehailing 5 peratus kurang dari harga tambang perkhidmatan teksi.
“Kadar komisen yang dibayar pemandu e-hailing kenderaan persendirian kepada syarikat diseragamkan kepada 10 peratus iaitu sama dengan kenderaan teksi,” katanya.
Bagi resolusi kedua pula, meja runding meja bulat itu menuntut inisiatif berterusan kerajaan secara langsung dan telus dengan menyediakan sistem sokongan kepada semua pemandu e-hailing untuk beralih ke sektor formal atau perniagaan lebih terjamin.
“Kami berpandangan bahawa, sektor ekonomi baharu haruslah menggunakan
pendekatan baharu untuk mengawal selia dan juga menyediakan sistem sokongan jitu sebagai tanggungjawab dan khidmat terhadap ekosistem ekonomi baharu yang adil dan saksama.
“Persidangan berharap agar pihak kerajaan dapat meneliti dan menelusuri erti sebenar pengkarya di dalam ekosistem ekonomi gig termasuk pembangunan kerjaya dan perniagaan dengan pendanaan serta pinjaman,” jelasnya.
Selain itu, resolusi ketiga rundingan meja bulat itu turut mencadangkan agar kerajaan memberikan bantuan berkesan dan efektif kepada pemandu e-hailing dalam Belanjawan 2023.
Antaranya subsidi 100 peratus Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sebanyak RM592.80, pengecualian bayaran Lesen Kenderaan Motor berjumlah RM70, pengecualian bayaran EVP sebanyak RM110, pengecualian bayaran PUSPAKOM berjumlah RM55 dan pemberian percuma kamera dalam kereta berjumlah RM450. – MalaysiaGazette