Seorang remaja lelaki maut selepas dilanggar lori dalam satu  kemalangan  di persimpangan Persiaran Hamzah Alang, Klang dekat sini semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki maut selepas dilanggar lori dalam satu  kemalangan  di persimpangan Persiaran Hamzah Alang, Klang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Tengku Idris Shah Kapar yang berusia 13 tahun itu menunggang basikal bersama beberapa orang rakannya.

“Siasatan awal di lokasi mendapati semasa kejadian, mangsa yang dari Jalan Durian menghala ke Meru menunggang basikal keluar dari simpang tersebut menuju ke Jalan Persiaran Hamzah dan pada masa yang sama lori yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Kapar tidak sempat mengelak lalu telah melanggar mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang berasal dari Jalan Nenas, Persiaran Hamzah Alang telah mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kemalangan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Vijaya Rao, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Polis masih meneruskan siasatan mengenai kejadian itu dan pemandu lori yang terlibat dalam insiden itu telahpun dipanggil dan selesai dirakam keterangan,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette