Seramai 128 penyertaan diterima dalam Malaysian Polytechnic and Community College Sustainability Award 2022 (MPCCSustAWARD’22) dalam sembilan kategori dipertandingkan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) hari ini.

KUANTAN – Seramai 128 penyertaan diterima dalam Malaysian Polytechnic and Community College Sustainability Award 2022 (MPCCSustAWARD’22) dalam sembilan kategori dipertandingkan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zubaidah Aman berkata, peserta terdiri daripada 22 politeknik dan 13 kolej komuniti daripada seluruh negara menyertai anugerah yang bermula Februari sehingga Ogos 2022.

“Penganjuran MPCCSustAward merupakan satu pengiktirafan bagi memperkasakan  budaya hijau dan melestarikan Politeknik dan Kolej Komuniti selaras dengan objektif pembangunan Blueprint SmartGreen PolyCC 2021-2026.

“Program peringkat Kebangsaan ini telah dilaksanakan bermula tahun 2020 dengan penganjuran sulungnya diadakan di Politeknik Mersing dan kemudiannya pada tahun 2021 telah diadakan di Politeknik Sultan Idris Shah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara anugerah utama dipertandingkan menerusi Anugerah SmartGreen PolyCC 2022 melibatkan Anugerah Penjimatan Tenaga Elektrik, Anugerah Lanskap Hijau, Anugerah Penjimatan Air, Anugerah Pengurusan Sisa , Anugerah Pengurusan Perolehan Hijau, Anugerah Pengurusan Pengangkutan dan Anugerah Penyelidikan Terbaik.

Manakala Anugerah Pengurusan Projek Hijau (GPM) PolyCC 2022 dinilai oleh pihak Sustainable Business Network Association Malaysia (SustNET).

Majlis perasmian penutup MPCCSustAWARD’22 yang dianjurkan oleh POLISAS dengan kerjasama Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) berlangsung di Dewan Sri Mahkota, POLISAS.

Majlis telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk  Seri Shahaniza Shamsuddin yang mewakili Menteri Besar Pahang.

Turut diadakan sesi penyerahan dokumen kolaborasi antara pihak JPPKK bersama pemain industri  hijau iaitu Think Plus Consulting Sdn Bhd dan International Green Trends Cockpit Sdn Bhd serta antara POLISAS dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. – MalaysiaGazette