KUANTAN – Peminat tempatan sukan kanu teruja menjelang dua perlumbaan terakhir nanti apabila pendayung kebangsaan, Aimi Ayumi Azwan yang mewakili Pahang melonjak kepada kedudukan kedua keseluruhan acara wanita.
Aimi Ayuni membuatkan peminat tempatan bersorak apabila berjaya meninggalkan pesaingnya Irin Neegree ketika perlumbaan menuju penghujung dan memintas garisan penamat dengan masa 1’25:42.47s manakala pendayung dari Thailand itu ketiga dengan masa 1’26:08.32s.
“Strategi saya ialah bermula perlahan hari ini untuk simpan tenaga, apabila melepasi boya kedua baharulah saya mengerah habis-habisan.
“Untuk esok mungkin saya akan guna strategi yang sama, dan kita tengoklah apa yang akan berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
McKenzie yang menjadi pilihan untuk muncul juara wanita, mendahului dalam senarai keseluruhan manakala Aimi Ayuni kedua dengan kelebihan kira-kira dua saat di hadapan Irin menunjukkan prestasi cemerlang di Pantai Balok di sini hari ini.
POPIC 2022 yang bermula di Pantai Hiburan di Rompin adalah perlumbaan unik untuk peminat kanu.
Perlumbaan lima peringkat itu akan berakhir di Pantai Teluk Cempedak pada Ahad ini manakala perlumbaan peringkat keempat akan berlangsung di Pantai Cherating, Kuantan esok.
Temasya bertaraf antarbangsa ini yang menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM300,000, dibawakan oleh StageMaker Sdn. Bhd. selaku penganjur dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Tourism Pahang dan Tourism Malaysia. – MalaysiaGazette