KUALA LUMPUR – Dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin tidak hilang sekiranya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz melakukan tugasnya dengan betul semasa menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dahulu.
Penganalisis, Lim Sian See berkata, Zeti sepatutnya menghalang dana yang meragukan daripada dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Tetapi yang peliknya, tiada tindakan diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan kerajaan sedia ada. Sebaliknya, beberapa pemimpin PH dan PN mempertahankan Zeti,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Beliau mengingatkan kembali bahawa suami Zeti, Datuk Ayman Tawfiq dikatakan pernah menjadi rakan kongsi dan pemegang saham bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam Abu Dhabi Malaysia Investment Corp (ADKMIC).
Sian See turut mendakwa, Ayman pernah menjadi rakan kongsi usahawan Singapura, Samuel Goh dalam Cutting Edge Industries Ltd.
Katanya, Samuel pernah membuat pengakuan dalam mahkamah Singapura bahawa beliau dibayar sebanyak AS$4 juta untuk membuka akaun-akaun bank luar pesisir palsu bagi disalurkan dana 1MDB.
“Good Star Ltd merupakan syarikat luar pesisir palsu di mana 1MDB membayar hampir AS$1 bilion kepadanya. Pemindahan dana kepada akaun luar pesisir palsu ini diluluskan oleh BNM semasa Zeti menjadi Gabenor,” jelasnya.
Dalam hantaran berasingan, Sian See mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa menyiasat dakwaan membabitkan Zeti dan suaminya dalam kes 1MDB.
“Sudah berapa kali serah kepada Peguam Negara sejak tahun 2019? Serah, dikembalikan. Serah, dikembalikan. Serah, dikembalikan,” katanya. – MalaysiaGazette