Wan Azlan Wan Mamat.

KUALA LUMPUR – Polis sudah selesai merakam keterangan empat lagi individu bagi membantu siasatan dakwaan pelakon remaja, Puteri Balqis yang bapa kandungnya terlibat dengan gangguan seksual terhadapnya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan setakat ini telah selesai merakam keterangan semua saksi  terlibat.

“Saksi-saksi yang telah dirakam keterangan adalah mangsa sendiri iaitu Puteri Balqis, ibu kandung, pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan individu dari Bross Gang yang telah menemubual mangsa.

“Kita mendapat kerjasama baik daripada kesemua saksi dan keterangan selesai diambil tanpa sebarang masalah oleh pegawai penyiasat kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kandung Puteri Balqis direman bagi bantu siasatan

Tambah Wan Azlan, kertas siasatan kes tersebut akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk segera kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Pada 7 September lalu, Wan Azlan menerusi kenyataan media mengesahkan penahanan bapa kandung Puteri Balqis di Kedah sebelum direman bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada inividu itu semasa tangkapan dibuat terhadapnya. Barang rampasan itu akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia untuk dianalisa bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Wan Azlan, individu itu dilibatkan dalam saringan ujian air kencing dan keputusan menunjukkan negatif serta mendapatinya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam petang tadi dan dibenarkan perintah reman sehingga 12 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

Sebelum itu, Puteri Balqis, 15, membuat laporan polis terhadap bapa kandungnya itu pada 5 September lalu mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual bapanya sendiri ketika berusia enam tahun. – MalaysiaGazette