Gelagat penyokong Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang hadir pada perlawanan akhir Piala FA 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perlawanan akhir Piala FA 2022 malam ini antara Johor Darul Ta’zim (JDT FC) dan Terengganu FC boleh dikatakan sangat bermakna kepada kedua-dua pasukan.

Bagi skuad Harimau Selatan kendalian jurulatih Hector Bidoglio, mereka turun dengan misi gelaran kali kedua selepas julung kali menjulang gelaran itu pada 2015 selepas menewaskan PKNS 2-1.

Bidiglio baru sahaja mengambil alih pasukan berkenaan Julai lalu namun skuad kendaliannya tidak banyak mempunyai kelemahan apabila benteng pertahanannya berada dalam kedudukan terbaik apabila hanya bolos dua gol dalam saingan Piala FA.

Justeru, kombinasi Bergson da Silva dan Fernando Forestieri umpama mimpi ngeri yang perlu ditempuh bek pertahanan Terengganu FC.

Atas kertas, the Southern Tigers dilihat pilihan untuk menjulang kejuaraan kali kedua pada malam ini.

Pun begitu, skuad Peteh dari Pantai Timur juga tidak seharusnya dipandang enteng.

Gelagat para penyokong Terengganu FC dan Johor Darul Takzim yang hadir pada perlawanan akhir Piala FA 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MUHD NA’IM, 10 SEPTEMBER 2022.

Pasukan Penyu berbekalkan kemampuan jurulatih muda, Nafuzi Zain dengan Faisal Halim sebagai penjaring terbanyak untuk iaitu masing-masing tiga dalam saingan FA dan Liga Super musim ini bakal menjadi senjata dipertaruhkan untuk merebahkan JDT.

Gandingan dua penyerang, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre dua pemain import berpengalaman dalam kancah Liga Malaysia selepas meledak gabungan sembilan gol musim ini.

Permainan simple football skuad Peteh dengan menekankan penguasaan bola sepanjang permainan serta kekebalan bek pertahanan terbukti berkesan dan perlu diambil serius oleh JDT apabila hanya bolos tiga gol setakat ini.

Terengganu FC menjulang gelaran FA dua kali sebelum ini iaitu pada tahun 2000 dan 2011 dan kini skuad itu turun ke final dengan berbekalkan nasib dan sokongan penyokong mereka untuk menamatkan badi 11 tahun bagi membawa pulang semula trofi ke Pantai Timur.

Untuk rekod, pertemuan kedua-dua pasukan dalam semua perlawanan sebelum ini, JDT dan Terengganu FC pernah bertembung dalam lima aksi dalam Liga Super dan Piala Malaysia pada 2021 dan 2022 yang mana empat memihak kepada JDT manakala dalam aksi Piala Malaysia kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 tahun lalu.

Gelagat para penyokong Terengganu FC yang hadir pada perlawanan akhir Piala FA 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MUHD NA’IM, 10 SEPTEMBER 2022.

Penyerang Terengganu FC, Faisal Abdul Halim mempunyai enam gol dalam saingan FA dan Liga Super musim ini manakala Fernando Forestieri pula mempunyai tiga kali ganda gol lebih banyak iaitu 19 gol – enam untuk Piala FA dan 13 dalam Liga Super.

Ia sudah pasti akan menjadi tumpuan puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan tersebut.

Dalam pada itu, pekarangan perkampungan stadium dibanjiri lautan penyokong kedua-dua pasukan sejak tengahari tadi.

Seawal pukul 12 tengah hari ini, jalan utama ke arah stadium dari Bulatan Lumba Kuda berhampiran Palace of the Golden Horses sesak teruk dengan kenderaan.

Begitu juga daripada arah bertentangan dari Bandar Kinrara-Puchong menuju ke stadium dan jalan sesak dan bertambah teruk sekitar pukul 4.30 petang tadi.

Kenderaan penyokong skuad dan JDT sudah mula mengisi bahu jalan utama serta tempat letak kenderaan di stadium dengan kereta masing-masing.

Sejumlah anggota pegawai dan polis trafik terlibat tugas menguruskan aliran trafik berjalan lancar manakala di dalam dan luar stadium sejumlah besar anggota polis mengawal ketat di setiap sudut stadium.

Gelagat para penyokong Johor Darul Takzim yang hadir pada perlawanan akhir Piala FA 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MUHD NA’IM, 10 SEPTEMBER 2022.

Setiap penyokong diperiksa ketat di setiap pintu masuk stadium dan barang larangan seperti rokok, powerbank, pemetik api, makanan, botol air dirampas.

Pasukan keselamatan juga bersiap siaga dan memantau ketat bagi mengelak sebarang provokasi di kawasan stadium sebelum dan semasa perlawanan berlangsung. – MalaysiaGazette