Rafizi Ramli (kiri) dan Siti Kasim

KUALA LUMPUR – PKR bersedia untuk bertembung dengan Siti Kasim dan rakan-rakannya di semua kerusi yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Rafizi membalas ciapan Siti atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim di Twitter selepas peguam itu berkata, PKR mempunyai masalah berkaitan kemasukan Parti MUDA ke dalam Pakatan Harapan.

“Tidak mengapa. Kami bersedia untuk bertembung secara langsung @sitikasim dan rakan-rakan di semua kerusi PKR yang ingin ditandingi.

Bring it on! Ini peluang anda untuk membuktikan bahawa masalahnya ialah PKR,” kata Rafizi.

Ciapan Rafizi di Twitter

Sebelum itu, Siti memberikan reaksi terhadap ciapan seorang pengguna Twitter bernama James Chin yang mendesak supaya PH membenarkan Parti MUDA menjadi sebahagian daripada kompen PH.

“Tolong hentikan politik murahan ini. Rumah semula jadi MUDA ialah PH. Biar MUDA masuk. PRU-15 sudah tiba. Anda tidak mempunyai masa. Loke betul,” kata James Chin.

Ciapan itu kemudiannya dibalas oleh Siti Kasim,”Setuju Prof. Masalahnya PKR”.

Siti akan bertanding di bawah Gerakan Independent bersama-sama dengan enam calon lain dan media melaporkan Siti mengumumkan untuk bertanding di Parlimen Batu iaitu kerusi yang dipegang oleh PKR.

Calon lain yang disahkan oleh Gerakan Independent ialah Ravee Suntheralingam (Wangsa Maju), KJ John (Petaling Jaya), Charles Chow (Subang), Roland Cheng (Kota Kinabalu) dan Tawfik Ismail kemungkinan besar bertanding di Parlimen Simpang Renggam.

Manakala MUDA melalui presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen.

Parti itu juga telah menghantar permohonan untuk menjadi komponen di dalam PH.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, parti itu menyatakan komitmen untuk segera mempertimbangkan permohonan MUDA menyertai gabungan itu bagi mendepani PRU-15. – MalaysiaGazette