PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti garis panduan pemilihan penceramah yang akan dipilih untuk program motivasi anjuran sekolah seluruh negara.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tindakan tersebut dilihat perlu demi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini khususnya kes amang seksual terhadap pelajar.
Jelasnya, antara yang akan diteliti semula oleh KPM adalah kriteria pemilihan penceramah bebas yang dijemput oleh pihak sekolah.
“Kita sedar dan perincikan garis panduan pemilihan motivasi sekolah (penceramah motivasi).
“Kalau kita perincikan semua perkara nanti kata KPM nak kawal semua tapi kalau tiada penyelarasan dan pantauan akan jadi masalah kelak seperti yang dibangkit,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan di Dewan Putra Perdana, Sekolah Sultan Alam Shah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas.
Penceramah berkenaan didakwa melakukan amang seksual kepada remaja sekolah berumur di bawah 18 tahun, yang dikenalinya menerusi program motivasi sekolah.
Sehingga kini dilaporkan terdapat enam laporan polis dibuat terhadap penceramah bebas yang direman selama enam hari.
Empat laporan dibuat di sekitar Selangor manakala dua lagi laporan dilakukan di Seremban.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM memandang serius kes tersebut dan mahu memastikan sekolah merupakan tempat yang selamat untuk para pelajar.
“Kalau kita tegas semua pihak kena faham semua yang kita ambil untuk keselamatan anak-anak di sekolah,” ujar beliau,
Mengulas lanjut beliau berkata, garis panduan pemilihan penceramah yang sedia ada masih terpakai sehingga KPM mewujudkan garis panduan baharu.
“Sekarang ini garis panduan sedia ada masih terpakai sampai kementerian hasilkan garis panduan baharu,” katanya. -MalaysiaGazette