Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika berucap pada Program Ceramah Rapat Mega Keadilan di Taman Melawati Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memberi amaran sekiranya kerajaan mengadakan pilihan raya ketika waktu banjir, parti itu akan pastikan pemimpin terbabit disumbat dalam penjara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam ceramah Rapat Mega Keadilan yang berlangsung malam tadi Rafizi mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan menang sekiranya pilihan raya berlangsung ketika bencana banjir sedang berlaku.

“Saya nak beritahu nak beritahu kepada rakyat Malaysia kepada Datuk Seri Ismail Sabri lagi lama kamu ratib nak masuk pilihan raya, lagi dekat kita nak masuk tengkujuh, lagi besar peluang Keadilan untuk menang pilihan raya.

“Sebab itu malam ini kita tunjukan, minggu depan kita tunjukan, minggu lepas itu kita tunjukan kalau kamu berani panggil pilihan raya masa banjir, kamu panggil. Insya-Allah kami sumbat kamu dalam penjara lepas pilihan raya,” kata Rafizi sambil disambut sorakan hadirin.

Sementara itu, Rafizi memberitahu PKR akan menggerakkan jenteranya untuk membantu mangsa sekiranya banjir berlaku pada musim tengkujuh.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika berbua sesuatu semasa menghadiri ke Program Ceramah Rapat Mega Keadilan di Taman Melawati Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

Dalam ucapan pada majlis yang dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrabim, beliau turut meramalkan Barisan Nasional dan UMNO akan terkubur dalam tempoh enam tahun lagi.

“Saya yakin UMNO dan BN akan berkubur dalam tempoh lima, enam tahun lagi. Itu saya yakin.

“Mustahil parti yang sudah begitu rosak begini boleh bina balik kekuatan dari bawah untuk mendepani cabaran dalam diri. Mustahil. Saya tidak bimbag langsung.

“Datuk Seri Anwar tahu saya kata, UMNO, BN, Bersatu, Pas ini dia tidak boleh melepasi PRU kali ini, PRU akan datang dia akan lemah,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa Pas tidak lagi mampu membuat ceramah yang besar seperti yang dilakukan oleh PKR.

“Pas sembang. Bila kali terakhir saudara-saudari tengok Pas buat ceramah besar? Dia dah jadi kerajaan sudah terikut-ikut dengan Bersatu dan UMNO.

“Dia sudah jadi kerajaan, kalau nak buat program berkempen dia akan kerah segala jentera kerajaan untuk turut sebab kalau dia nak buat macam kita malam ini dengan hanya air liur kita tak bayar orang datang tengok, saya yakin Pas pun tak berani nak buat ceramah macam dengan kita masa zaman 2003, 2013,” katanya.

UMNO pula menurut Rafizi ketika ini sibuk menangis berikutan hukuman penjara yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saudara saudari tahu orang sibuk pasal harga barang naik, harga barang jatuh. UMNO sibuk menangis.

“Depa menangis untuk Najib, kemudian dia menangis untuk Rosmah. Sekarang saya nak nasihatkan kawan-kawan dalam UMNO tolong simpan air mata sikit sebab kamu akan menangis untuk Zahid pula,” kata Rafizi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast