KUALA LUMPUR – Nooryana Najwa Najib hari ini merayu kepada kerajaan dan Perdana Menteri supaya membenarkan bapa beliau mendapat rawatan yang sewajarnya.
Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa, masalah ulser kronik yang dihidapi bapanya kembali menyerang.
“Atas dasar kemanusiaan, saya merayu beberapa pihak termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, pengurusan Penjara Kajang dan juga HKL supaya memberi perhatian diberikan terhadap isu kesihatan Najib,” katanya menerusi Instagram.
Tambahnya, doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengesan beberapa ulser yang menyebabkan pendarahan ketika biopsi pada Sabtu lalu.
“Daddy meminta supaya dia di bawah pemerhatian perubatan tetapi ditolak HKL, doktor membenarkan dia keluar untuk kembali ke Penjara Kajang dan hari ini hadir ke mahkamah.
“Doktor juga telah menukar ubat-ubat daripada yang biasa diambilnya selama bertahun-tahun,” tulis Nooryana lagi.
Nooryana mengulas laporan media tentang penangguhan prosiding 1Malaysia Development memandangkan Najib mengalami alahan teruk selepas pengambilan ubat tekanan darah tinggi.
Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sendiri tampil mengesahkan keadaan Ahli Parlimen Pekan itu agak tenat dan memerlukan rawatan di Hospital Kajang hari ini juga.
Jelas beliau, tekanan darah Najib sangat tinggi hari ini ketika ujian dibuat oleh pembantu perubatan disebabkan perubahan ubat yang diberikan HKL.
Ini menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya memberitahu hakim pagi ini bahawa kesihatan Najib tidak dalam keadaan baik dan perlu dihantar ke hospital.
Menurut beliau, masalah kesihatan Najib ini berulang sejak 15 tahun lalu.
Malah, Najib pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi di sebuah hospital selama lima hari tahun lalu kerana melakukan lima pemindahan darah untuk menggantikan darah yang hilang akibat pendarahan dalaman.
Dalam pada itu, pegawai khas kepada Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan MalaysiaGazette. ujian kesihatan pagi ini mendedahkan tekanan darahnya amat tinggi akibat ubat-ubat baharu itu.. – MalaysiaGazette