Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan persiapan yang lebih rapi dan menyeluruh bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, agensi itu telah menggerakkan 12,500 anggota di 332 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negara untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat pusat akan mula bermesyuarat pada minggu ini dalam membuat persediaan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu tahap kesediaan di peringkat daerah, negeri dan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM 2021 di Ibu Pejabat JBPM Pahang, hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan, seramai 3,200 orang anggota dan pegawai lain yang bekerja mengikut waktu pejabat di seluruh negara juga akan diminta membantu bomba.

“Dari segi aset pula, kita telah sediakan sebanyak 1,800 aset yang meliputi 1,400 kenderaan darat, 400 peralatan logistik marin di air dan lapan pesawat helikopter yang berpengkalan di Bertam, Pulau Pinang; Subang, Selangor dan Miri, Sarawak,” tambahnya.

JBPM, katanya, akan menggerakkan anggotanya mengikut kawasan sasaran atau ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti di pengkalan hadapan terutama di kawasan Pantai Timur.

“Pada masa sama, kita akan gerakkan pengkalan hadapan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu yang boleh menempatkan pesawat, jentera berat, logistik marin dan bot,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menggunakan helikopter dan dron bagi tujuan pemantauan sekiranya terdapat kawasan banjir yang terputus hubungan serta kamera infrared untuk mengesan mangsa banjir yang mungkin terperangkap.

Mengulas mengenai kejadian banjir luar jangka seperti yang berlaku di Maran dan Bentong awal tahun ini, Mohamad Hamdan memberitahu, pihaknya turut mengambil kira situasi berkenaan dan akan lebih bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan September sehingga November.

MET Malaysia menjangkakan Monsun Timur Laut bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023 – MalaysiaGazette