KUALA LUMPUR – Beberapa mercu tanda di ibu negara akan disinari dengan cahaya warna jingga sempena dengan warna tema Hari Keselamatan Pesakit Sedunia bagi menunjukkan solidariti terhadap keselamatan pesakit, Sabtu ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam hantaran di Facebooknya berkata, tiga lokasi ikonik iaitu Tasik Simfoni, Suria KLCC, Menara Kuala Lumpur dan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan disinari dengan penyalaan lampu berwarna jingga bermula 8 malam hingga 10 malam.
Di samping itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan Institut Perubatan Respiratori turut menyertai program solidariti tersebut.
Sempena acara itu, Dr Noor Hisham berkata pelbagai aktiviti menarik dianjurkan di Tasik Simfoni, Suria KLCC serta pertandingan fotografi.
Hari Keselamatan Pesakit Sedunia disambut pada 17 Sept setiap tahun bertujuan menyeru perpaduan global dan tindakan bersepadu oleh semua pihak untuk meningkatkan keselamatan pesakit serta mengiktirafnya sebagai keutamaan kesihatan global. – BERNAMA