Ismail Sabri menyampaikan ucaptama pada majlis Kongres Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (WCIT) 2022 di Spice Arena, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Malaysia berada pada kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital berjumlah RM70 bilion pada tahun 2025, selaras  dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Ini kerana, Malaysia memiliki infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital yang holistik dan bakat digital berpengetahuan tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob .

Dengan kelebihan ini, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai hab pelaburan digital di rantau ASEAN.

Perdana Menteri berkata demikian katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Kongres Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (WCIT) 2022 di Spice Arena di sini, hari ini.

Kongres dihadiri lebih 4,000 peserta dari lebih 80 buah negara itu dirasmikan Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, melalui inisiatif Malaysia Digital (MD), negara berjaya meraih nilai pelaburan langsung asing digital sebanyak RM42 bilion hanya dalam tempoh dua bulan ia dilancarkan iaitu pada Julai lalu.

“Nilai itu dijana melalui pelaburan sebanyak 28 buah syarikat asing terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data; Penyedia Perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT); Teknologi Kandungan Kreatif dan Global Business Services (GBS),” tambahnya.

Ismail Sabri berkata, kejayaan ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara kerana akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, selain membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan ekonomi digital.

Dalam perkembangan berkaitan Ismail Sabri menambah, negara turut merekodkan pelaburan langsung domestik digital sebanyak RM4.76 bilion setakat 24 Ogos lalu.

“Menerusi usaha itu sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sudah diwujudkan dan peluang tersebut akan terus meningkat pada masa akan datang,” kata beliau. – MalaysiaGazette